Baru-baru ini, tular sebuah video rakaman dashcam membabitkan kenderaan yang dibaling batu dari atas flyover oleh individu tak dikenali, dipercayai berlaku di Jambatan Bandar Darulaman, Kilometer 32.6 Lebuhraya Utara Selatan (U), Kedah.
Susulan kejadian tersebut, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supritendan Rodzi Abu Hassan melalui laman Facebook Polis Daerah Kubang Pasu hari ini mengeluarkan satu kenyataan media.
Menurut Rodzi, suspek didapati membaling beberapa ketul batu ke arah kenderaan mangsa dari sebuah jambatan, dipercayai dengan tujuan khianat. Perbuatan tak bertanggungjawab itu telah mengakibatkan kerosakan pada bahagian depan kenderaan mangsa.
“Satu laporan polis telah diterima dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti suspek kejadian kerana mempunyai unsur khianat,” jelas Rodzi dalam kenyataan tersebut.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkait insiden berkenaan diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Kubang Pasu di talian 04-9176999 bagi membantu siasatan.
Sumber: Polis Daerah Kubang Pasu