
Tular Hatyai Dilanda Banjir, Ada Rakyat Malaysia Terkandas Di Sana
Kawasan tumpuan pelancong di Hatyai, Thailand dilanda banjir susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
Orang ramai termasuk rakyat Malaysia yang bercuti di sana berkongsi mengenai keadaan banjir itu di media sosial.
Malah, ada dalam kalangan mereka yang terkandas di hotel di sana.
Menurut Bangkok Post pada Jumaat, selain Hatyai, daerah lain di wilayah Songkhla yang terjejas akibat bencana itu ialah Rattaphum, Muang Songkhla, Khlong Hoi Khong, Ranot, Krasae Sin dan Sathing Phra.
Wilayah itu telah mengisytiharkan zon bencana kecemasan di daerah tersebut.
Selain itu, hampir 18,000 isi rumah terjejas akibat kejadian terbabit. Namun, tiada kecederaan atau kematian dilaporkan.
Gabenor Songkhla, Ratthasart Chidchoo mengarahkan semua 16 ketua daerah untuk menyelaras dengan pejabat lebuh raya tempatan bagi memasang tanda amaran dan kon lalu lintas.
Mereka juga perlu meminta pam air tambahan daripada organisasi pentadbiran tempatan, pejabat pencegahan dan mitigasi bencana dan agensi pengairan untuk mengalirkan air banjir dan membuka semula jalan secepat mungkin.
Sekiranya paras air kekal tinggi, pihak berkuasa daerah diminta menasihatkan pemandu supaya menggunakan laluan alternatif untuk keselamatan.
Sehingga Jumaat, keadaan banjir kekal kritikal apabila hujan berterusan di beberapa kawasan, meningkatkan paras air di sungai dan terusan.
Sumber: TikTok. Bangkok Post