Tujuh remaja lelaki yang dipercayai sesat sejak semalam ketika beriadah di kawasan Jeram Gunung Hitam, Hulu Langat ditemui selamat.
Menurut Bernama, ketujuh-tujuh mangsa yang berusia 18 tahun dibawa keluar pihak penyelamat kira-kira jam 5.59 pagi tadi.
Memetik laporan Sinar Harian, salah seorang pengguna Facebook memaklumkan terserempak jentera bomba ambulans di lokasi kejadian.
Malah salah seorang warga net turut meninggalkan komen mengaku sempat terserempak dengan tujuh remaja lelaki tersebut sejurus turun dari mendaki.
“Mereka baharu nak mendaki Gunung Hitam. Saya sempat tegur dan mereka kata hendak berkhemah.
“Mereka sempat berseloroh lepas habis PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) baru keluar dari sini,” kata pengguna Facebook tersebut, memetik laporan Sinar Harian.
Menerusi gambar papan tanda maklumat yang dikongsi di Facebook, ketujuh-tujuh mangsa dipercayai melalui trek di Kem Sungai Lawing untuk bermandi-manda di sungai. Namun kesemua mereka terkandas di lereng bukit selepas hujan.
Sumber: Bernama, Sinar Harian