BUTTERWORTH, 28 Feb (Bernama) — Sebanyak tujuh pasangan ditahan kerana berkhalwat di bilik hotel dalam operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijalankan di sekitar Butterworth di sini, malam tadi.
Semua 14 individu berusia 25 hingga 40 tahun itu, ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dalam operasi di lima buah hotel yang bermula pukul 8.30 malam itu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara SPU ACP Noorzainy Mohd berkata, ketika disoal siasat, semua mereka gagal memberikan alasan munasabah untuk menginap bersama di hotel, dan tidak mempunyai sebarang ikatan sah.
“Operasi bersepadu yang diadakan kali ini disertai penguatkuasa JHEAPP, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Kementerian Kesihatan Malaysia, kami memeriksa lima buah hotel serta dua buah restoran, sebelum menahan tujuh pasangan tersebut.
“Ada di antara mereka yang ditahan itu merentas negeri dan daerah hanya untuk berjumpa dengan pasangan di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya dalam operasi itu, pihak MBSP turut mengeluarkan saman kepada pemilik sebuah restoran, kerana mempamerkan papan iklan tanpa lesen dan dikompaun kerana tiada permit kerusi meja yang diletakan di kaki lima restoran berkenaan.
— BERNAMA