as keluar 66 organisasi
Kredit: Mandel NGAN / AFP

Trump Umum Tarik AS Keluar 66 Organisasi Antarabangsa

Azizah Najib

Trump Tarik AS Keluar 66 Organisasi Antarabangsa

Washington — Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menarik AS keluar daripada perjanjian iklim utama sebagai sebahagian daripada langkah pengunduran besar-besaran daripada tindakan global bersama.

Menerusi laporan AFP yang memetik memorandum Rumah Putih, sebanyak 66 organisasi dan perjanjian antarabangsa disenaraikan dalam satu memorandum Rumah Putih sebagai bertentangan dengan kepentingan AS. Hampir separuh daripada senarai tersebut berkaitan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Senarai tersebut termasuk Rangka Kerja Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC).

Dalam memberi sokongan penuh dasar domestiknya kepada bahan api fosil, Trump menolak konsensus saintifik berkenaan pemanasan global secara terbuka. Beliau menyifatkan sains iklim sebagai satu penipuan.

Memorandum berkenaan turut mengarahkan penarikan diri AS daripada Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC), serta Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA).

Trump turut menarik AS keluar daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) selain mengurangkan bantuan asing secara drastik.

BACA: Tuan Rumah Dari ‘Syurga’, Halalkan Sewa Tertunggak Lebih RM1,000

Menurut Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, organisasi terlibat dipacu oleh ideologi progresif dan berusaha menyekat kedaulatan AS.

“Dari kempen kesaksamaan jantina hingga ortodok iklim, kebanyakan organisasi antarabangsa kini berkhidmat untuk projek globalis,” katanya.

Sementara itu, Gabenor California, Gavin Newsom mengkritik keputusan berkenaan dan menyifatkan tindakan Trump sebagai melemahkan kepimpinan AS di peringkat dunia. Perkara ini seterusnya mewujudkan kekosongan yang sedang dieksploitasi China.

Peguam Kanan Pusat Kepelbagaian Biologi, Jean Su berkata, penarikan diri daripada UNFCCC jauh berbeza berbanding Perjanjian Paris.

“Kami berhujah bahawa ia menyalahi undang-undang bagi Presiden untuk menarik diri secara unilateral daripada perjanjian yang memerlukan sokongan dua pertiga undi Senat.

“Kami sedang mencari pilihan undang-undang untuk meneruskan hujah tersebut,” katanya.

Antara organisasi lain yang tersenarai dalam memorandum tersebut termasuk Tabung Penduduk PBB (UNFPA) dan UN Women. Begitu juga Persidangan PBB mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD).

Penarikan diri daripada perjanjian induk itu dijangka mewujudkan ketidakpastian undang-undang tambahan terhadap sebarang usaha AS untuk menyertai semula pada masa hadapan.

BACA: Pulau Pinang Tersenarai Antara Destinasi Pelancongan Terbaik 2026 – CNN Travel

BACA: Penerbangan Malaysia Airlines Berpatah Balik Ke Paris Susulan Anomali Petunjuk Enjin

Sumber: AFP