
Trump Ucap Terima Kasih Kepada Iran Beri Amaran Awal
WASHINGTON — Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyifatkan serangan balas Iran terhadap pangkalan tentera AS di Qatar sebagai sangat lemah, lapor AFP.
Dalam kenyataan di platform Truth Social miliknya, Trump menyifatkan tindakan balas Iran itu sebagai sangat lemah dan telah dijangka oleh pihaknya selepas serangan AS terhadap tiga tapak nuklear utama Iran pada hujung minggu lalu.
“Iran secara rasmi telah bertindak balas terhadap pemusnahan kemudahan nuklear mereka dengan respon yang sangat lemah, seperti yang dijangka, dan kami telah menanganinya dengan sangat berkesan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Iran kerana memberi makluman awal, yang membolehkan tiada nyawa terkorban dan tiada siapa yang cedera,” katanya.
Dalam pada itu, Trump turut menyatakan harapannya agar konflik antara dua negara itu dapat ditamatkan.
“Mungkin Iran kini boleh mempertimbang keamanan dan keharmonian di rantau ini, dan saya dengan penuh semangat akan menggalakkan Israel untuk melakukan perkara yang sama,” katanya lagi.
Iran sebelum ini telah melancarkan beberapa peluru berpandu ke arah Pangkalan Al Udeid di Qatar, yang merupakan markas utama AS di Timur Tengah.
Trump pada hari ini mengumumkan bahawa Iran dan Israel telah bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata secara berperingkat bermula Selasa, yang dijangka akan membawa kepada penamatan rasmi konflik antara kedua-duanya.
“Telah dipersetujui sepenuhnya antara Iran dan Israel bahawa akan berlaku GENCATAN SENJATA SEPENUHNYA,” tulis Trump pada Isnin malam menerusi platform Truth Social miliknya.
Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Iran atau Israel bagi mengesahkan persetujuan tersebut.
Menurut perincian yang dikemukakan oleh Trump, gencatan senjata itu akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh 24 jam, bermula sekitar jam 0400 GMT (12pm waktu Malaysia) pada Selasa.
Tambahnya, Iran juga dijangka menghentikan semua operasinya secara unilateral terlebih dahulu, diikuti Israel 12 jam kemudian.
“Apabila tiba jam ke-24, penamatan rasmi perang selama 12 hari itu akan diraikan oleh seluruh dunia,” katanya, sambil menambah bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk kekal “aman dan saling menghormati” sepanjang setiap fasa proses tersebut.
Sumber: AFP, Truthsocial @realdonaldtrump