
Trump Nyatakan Tidak Puas Hati Dengan Putin
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump meluahkan rasa tidak puas hati terhadap perbualan telefon terkininya dengan Vladimir Putin berhubung perang di Ukraine, sambil menyatakan bahawa pemimpin Rusia itu hanya mahu terus membunuh orang.
“Ia satu situasi yang sangat sukar. Saya sudah maklumkan bahawa saya sangat tidak puas hati dengan panggilan saya bersama Presiden Putin. Dia mahu teruskan sepenuhnya, hanya mahu terus membunuh orang, ini tidak baik,” kata Trump kepada wartawan ketika berada di dalam pesawat Air Force One.
Trump turut memberi bayangan bahawa beliau mungkin akhirnya akan memperketatkan sekatan terhadap Rusia.
Sebelum ini, beliau menangguhkan tindakan tersebut selama enam bulan dalam usahanya untuk memujuk Putin menamatkan peperangan.
“Kami sering berbincang mengenai sekatan. Dia faham bahawa ia mungkin akan dikenakan,” kata Trump.
Dalam pada itu, Trump berkata beliau turut mengadakan perbualan sangat strategik bersama Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky pada hari yang sama, susulan kebimbangan yang semakin meningkat di Kyiv mengenai penghantaran bantuan ketenteraan dari AS.
Zelensky sebelum ini memaklumkan bahawa kedua-dua pemimpin bersetuju untuk bekerjasama bagi memperkukuh sistem pertahanan udara Ukraine, susulan serangan dron dan peluru berpandu terbesar oleh Rusia sejak pencerobohan bermula.
Trump turut memaklumkan bahawa beliau telah berbincang dalam panggilan berasingan dengan Canselor Jerman, Friedrich Merz berkenaan kemungkinan menghantar peluru berpandu pemintas Patriot ke Ukraine, namun belum membuat keputusan muktamad.
“Merz merasakan bahawa mereka perlu dilindungi,” kata Trump.
BACA: Banjir Kilat Mengejutkan Di Texas Adalah Mengerikan – Trump
BACA: Malaysia, Perancis Ulangi Pendirian Gesa Gencatan Senjata & Bantuan Kemanusiaan Di Gaza
BACA: Arab Saudi Sokong Gencatan Senjata Segera Di Gaza, Negara Palestin Dengan Sempadan 1967
Sumber: AFP