bakar bendera AS
Gambar: AFP

Trump Arah Sabit Jenayah Individu Bakar Bendera AS

Hannah

Trump Arah Sabit Jenayah Individu Bakar Bendera AS

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menandatangani satu perintah eksekutif pada Isnin yang mengarahkan pihak pendakwa raya persekutuan untuk mengenakan tuduhan jenayah terhadap individu yang membakar bendera AS ketika tunjuk perasaan.

Melalui perintah itu, Peguam Negara AS, Pam Bondi, diarahkan untuk meneliti kes-kes pembakaran bendera dan menilai sama ada mereka boleh dikenakan pertuduhan lain, termasuk mengganggu ketenteraman awam atau melanggar undang-undang alam sekitar.

Lapor The Guardian, langkah ini dilihat sebagai cubaan Trump untuk mengatasi keputusan Mahkamah Agung pada tahun 1989 dalam kes Texas v. Johnson.

Pada ketika itu, mahkamah memutuskan dengan undian tipis 5-4 bahawa tindakan membakar bendera dilindungi sebagai bentuk ekspresi politik di bawah Pindaan Pertama Perlembagaan AS.

Keputusan tersebut sekali gus membatalkan undang-undang larangan pembakaran bendera di 48 negeri.

“Bendera sedang dibakar di merata-rata tempat dalam negara.

“Melalui keputusan mahkamah yang amat menyedihkan, ia dianggap sebagai kebebasan bersuara,” kata Trump di Pejabat Oval ketika menandatangani perintah itu.

Trump juga mendakwa sesiapa yang membakar bendera patut berdepan hukuman penjara setahun, walaupun perintah yang ditandatangani itu tidak menyatakan secara jelas mengenai tempoh hukuman penjara.

Untuk info, Trump bukan asing dalam memperjuangkan isu ini.

“Tiada siapa patut dibenarkan membakar bendera Amerika. Jika mereka lakukan, mesti ada akibat, mungkin hilang kerakyatan atau penjara setahun,” kata beliau pada 2016.

Menurut The Guardian, pandangan Trump turut mendapat sokongan sebahagian besar rakyat Amerika.

Tinjauan YouGov pada 2020 mendapati hampir separuh rakyat menyokong tindakan mengharamkan pembakaran bendera, manakala sepertiga pula percaya ia harus dibenarkan.

Kajian terbaharu oleh YouGov pada September 2023 menunjukkan 59 peratus rakyat AS berpendapat tindakan membakar bendera ketika tunjuk perasaan adalah sama sekali tidak boleh diterima.

BACA: 14 Rakyat Palestin Termasuk 3 Wartawan Terbunuh Dalam Serangan Ke Atas Hospital Gaza

Sumber: The Guardian