iran serang as
Gambar: AFP

Trump Akan Teruskan Usaha “Denuclearisation” Menyeluruh Korea Utara – Rumah Putih

Athirah

Trump Akan Teruskan Usaha “Denuclearisation” Menyeluruh Korea Utara – Rumah Putih

WASHINGTON, 28 Jan (Bernama-Yonhap) — Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump akan meneruskan usaha ke arah “denuclearisation menyeluruh Korea Utara”, lapor Agensi Berita Yonhap yang memetik pegawai Rumah Putih pada Selasa, di tengah-tengah persoalan sama ada tindakan Trump baru-baru ini dengan merujuk negara itu sebagai “kuasa nuklear” menandakan sebarang perubahan dasar.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS Brian Hughes membuat kenyataan itu sejurus selepas Agensi Berita Pusat Korea Utara (KCNA) melaporkan bahawa pemimpin negara itu, Kim Jong-un telah melawat pangkalan pengeluaran bahan nuklear dan institut senjata nuklear, yang dilihat sebagai usaha menonjolkan keupayaan ketenteraan Pyongyang.

“Presiden Trump akan meneruskan “denuclearisation” menyeluruh Korea Utara, seperti yang dilakukannya dalam penggal pertamanya,” kata Hughes sebagai menjawab soalan daripada Agensi Berita Yonhap.

“Presiden Trump mempunyai hubungan baik dengan Kim Jong-un, dan gabungan pendekatan tegas serta diplomasi beliau telah membawa kepada komitmen peringkat pemimpin yang pertama mengenai “denuclearisation” menyeluruh,” tambah pegawai itu.

Hughes dipercayai merujuk kepada perjanjian antara Trump dan Kim semasa sidang kemuncak pertama mereka di Singapura pada 2018. Di bawah perjanjian itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama ke arah “denuclearisation menyeluruh” di Semenanjung Korea serta menetapkan hubungan dua hala yang baharu.

BACA: Pembangunan Semula Gaza: Malaysia Bina Sekolah, Hospital Dan Masjid – PM Anwar

Terdahulu, seorang pegawai kerajaan AS berkata masih belum ada perubahan dalam dasar AS terhadap Korea Utara.

Minggu lepas, Trump merujuk Korea Utara sebagai “kuasa nuklear”, istilah yang tidak digunakan kebanyakan pegawai AS sebelum ini kerana boleh dianggap sebagai pengiktirafan AS terhadap senjata nuklear Pyongyang. Setiausaha Pertahanan AS Pete Hegseth turut menggunakan istilah itu semasa sesi pengesahan pelantikannya awal bulan ini.

Dalam langkah yang dilihat sebagai usaha meningkatkan pengaruh menjelang rundingan berpotensi dengan AS, KCNA melaporkan bahawa Kim melawat tapak yang berkaitan dengan program nuklear negara itu, dengan pemimpin berkenaan menyeru supaya “melebihkan sasaran rancangan pengeluaran bahan nuklear gred senjata dan memperkukuh perisai nuklear negara.”

Semasa wawancara terbaharu dengan Fox News, Trump berkata beliau bersedia untuk menghubungi Kim sekali lagi, menggambarkan pemimpin Korea Utara itu sebagai “seorang yang bijak” dan “bukan fanatik agama”, petunjuk bahawa beliau masih melihat Kim sebagai seseorang yang boleh diajak berunding.

BACA: Cecah Jutaan Dolar, Ini Lima Ubat & Rawatan Paling Mahal Di Dunia

Sumber: Bernama