Transformasi Jambatan Sungai Kuala Melaka Menyambut LIMA 2025
Melaka, 19 MEI 2025 – Balai Seni Negara Cawangan Langkawi, dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), hari ini merasmikan Program Pengindahan dan Keceriaan Jambatan Sungai Kuala Melaka, menerusi program khas sempena penganjuran Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition (LIMA) 2025.
Majlis perasmian disempurnakan oleh YB Tuan Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Majlis turut dihadiri YBhg. Dato’ Haslina Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif LADA, YBrs. Encik Amerrudin Ahmad, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Ir. Ts. Khairul Azlan bin Abdullah, Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Langkawi, serta pegawai-pegawai kanan, jabatan, dan agensi yang terlibat.

Program yang bermula dari 7 Mei hingga 23 Mei 2025 ini menyaksikan transformasi menyeluruh terhadap Jambatan Sungai Kuala Melaka melalui penghasilan mural berskala besar yang mengetengahkan tema Geopark Langkawi. Lokasi ini dipilih atas kedudukannya yang strategik sebagai laluan utama pelancong dan nadi komuniti, di samping potensinya untuk diangkat sebagai ruang seni awam yang mampu memperkaya pengalaman budaya serta visual pengunjung.

Program ini merangkumi beberapa fasa penting, termasuk kerja-kerja pembersihan, pengecatan, serta penghasilan mural. Program ini melibatkan penyertaan 12 artis mural tempatan iaitu Dhiyaul Mohamad Ashraf Dawari, Muhammad Firdaus Musa, Muhammad Riduan Raja Yunus, Muhammad Syafiq Mohd Adib, Muhammad Izwan Rahimi, Norafandi Rosli, Hardiana Hidayah Azni, Abdul Qoyyum Mohd Nadzri, Mohammed Nabil Sohaini, Fauzan Adzima Pangestu Padzli, Mohamad Fakhri Mohd Salleh dan Muhammad Izharuddin Mohd Salleh.

Pendekatan ini bukan sahaja mampu memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap seni visual, tetapi juga memupuk rasa tanggungjawab untuk memelihara dan menghargai ruang awam sebagai khazanah bersama. Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan Balai Seni Negara dalam mendekatkan seni kepada masyarakat serta memartabatkan warisan budaya dengan pendekatan yang inklusif, kontemporari, dan mendidik.

Melalui pelaksanaan program ini, ia diharapkan dapat menyemarakkan suasana sambutan LIMA 2025, sekali gus memperkenalkan Langkawi sebagai pulau yang kaya dengan nilai seni serta budaya, sejajar dengan kempen Tahun Melawat Kedah 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Untuk maklumat lanjut, ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara dan Balai Seni Negara Langkawi atau layari laman sesawang www.artgallery.gov.my.