PUTRAJAYA, 22 Julai – Sebuah trak yang membawa sampel COVID-19 tinggi risiko jangkitan dirompak dan dirampas dalam satu kejadian di Afrika Selatan.
Jurucakap polis wilayah Port Elizabeth, Kolonel Priscila Naidu mendakwa, trak itu dirampas ketika berada di luar klinik di Motherwell sekitar pukul 3.30 petang kelmarin.
“Dikatakan kira-kira 3.30 petang, syarikat kurier (trak) berada di kawasan letak kereta klinik di NU11 ketika pemandu dan penumpangnya diacukan senjata (ketika trak diceroboh).
“Suspek yang tidak dikenali itu meminta kunci trak sebelum membawanya lari. Tiada sebarang tembakan berlaku dan barangan peribadi mangsa dilaporkan turut dirompak,” katanya, memetik laporan Daily Mail.
Sementara itu, menurut Pengurus Perkhidmatan Makmal Kesihatan Negara, Tabita Makula, sampel ujian COVID-19 itu disimpan di dalam sebuah kotak sejuk berkapasiti 40 liter dengan kiub ais.
Difahamkan, trak tersebut berjaya ditemui semula.
Bagaimanapun, sampel-sampel COVID-19 itu tidak dijumpai.
Kerajaan memberi amaran kepada orang awam agar tidak menyentuh mana-mana sampel saringan, kerana didakwa ia mempunyai risiko jangkitan yang tinggi.
Dalam pada itu, kejadian sampel saringan COVID-19 hilang seperti ini bukan kali pertama berlaku di sana.
Pada bulan lepas, polis melaporkan beratus-ratus kit ujian COVID-19 yang semuanya ditanda sebagai ‘kecemasan’ dijumpai dibuang di tepi jalan di Eastern Cape.
Sumber: Daily Mail, Herald Live