KUALA LUMPUR, 26 Okt — Seorang tukang kasut warga emas ditemukan mati dalam keadaan melecur separuh badan di Taman Bukit Teratai, Ampang dekat sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Esha berkata lelaki berusia 70 tahun itu yang merupakan penduduk setempat melecur dari paras dada hingga ke paha, dipercayai akibat terbakar menggunakan bahan bakar.
Mangsa ditemukan oleh orang awam dalam keadaan terbaring di taman permainan kira-kira 7.20 pagi, katanya kepada Bernama.
Menurutnya siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah di tempat kejadian.
Mayat dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk dibedah siasat dan buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, katanya.
— BERNAMA