Kebakaran belukar yang berlaku di Australia terus memberikan kebimbangan kepada penduduk setempat dan juga komuniti dunia. Berita mengenai kebakaran besar ini telah mendapat perhatian dunia yang turut ‘bersimpati’ dengan landskap yang sedang dijamah api kini.
Kebakaran yang bermula sejak September 2019 ini telah menimbulkan pelbagai teori. Tambahan lagi, kebakaran yang telah berlaku berbulan-bulan ini masih belum dapat diatasi sehingga kini.
Menerusi perkongsian seorang individu di laman Twitter, dia telah menceritakan sedikit sebanyak mengenai kebakaran ini disamping memberi pendedahan kepada kesan kebakaran ini kepada dunia.
Sememangnya Australia adalah sebuah negara yang sangat besar saiznya. Pun begitu, kebakaran yang meliputi hampir 6 juta hektar hutan dan belukar sudah dianggap sebagai satu keadaan yang teruk kepada Australia.
Jika hendak dibandingkan dengan sejarah kebakaran besar yang pernah berlaku, kebakaran Hutan Hujan Amazon 2019 telah memusnahkan lebih 900 ribu hektar hutan. Bagi kebakaran yang berlaku di California pula, sekitar 800 ribu hektar hutan telah musnah dijilat api. Catatan ini telah membuktikan bahawa kebakaran yang sedang berlaku di Australia ini adalah berkali ganda lebih teruk daripada kebakaran sebelumnya.

Jika kebakaran dengan keluasan tersebut berlaku di Malaysia, ianya diumpamakan seperti sedang ‘menjamah’ beberapa negeri di Malaysia.

Kebakaran tersebut dipercayai bermula apabila suhu yang semakin memanas di Australia terhasil daripada fenomena Indian Ocean Dipole (IOD). Hasil dari fenomena itu, Asia Tenggara dan Australia mengalami cuaca panas kering dan kemarau. Kadar lembapan di Australia juga berkurangan ekoran fenomena IOD telah melemahkan tiupan angin.


Setelah berbulan-bulan, kebakaran ini dilihat masih menemui jalan buntu untuk dihentikan. Malah, menurut Shahmil Hafiz kebakaran tersebut sukar untuk dihentikan atas beberapa sebab.

Tambahnya, kebakaran yang terus berlaku di Australia adalah disebabkan panahan petir yang telah menyebabkan kebakaran kepada tumbuh-tumbuhan kering akibat cuaca kemarau dan cuaca panas yang kering.
Walau bagaimanapun, komuniti dunia diharapkan untuk terus mendoakan Australia untuk bangkit bagi menangani krisis besar yang sedang dihadapi sekarang.
Sumber: Shahmil Hafiz