
Ketua Polis Kota Malang, Indonesia dilaporkan telah dipecat dan sembilan pegawai polis elit telah digantung kerja berkait dengan insiden rempuhan yang berlaku di Stadium Kanjuruhan pada Sabtu lalu yang menyebabkan 125 nyawa terkorban dan 323 mangsa cedera.
Menurut jurucakap Polis Negara, Dedy Prasetyo berkata, Ketua Polis Kota Malang telah dipecat pada Isnin manakala sembilan anggota polis elit yang digantung tugas bakal berdepan dengan hukuman jika disabit bersalah semasa perbicaraan tatatertib.
“Seramai 19 pegawai polis lain yang bertanggungjawab menembak gas pemedih mata itu juga sedang disiasat.
“Polis juga sedang menyoal siasat saksi dan menganalisis video daripada 32 kamera keselamatan di dalam dan luar stadium serta sembilan telefon bimbit milik mangsa sebagai sebahagian daripada siasatan yang akan turut mengenal pasti suspek,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Joko Widodo telah mengeluarkan arahan bahawa liga bola sepak perdana itu akan digantung sehingga penilaian semula keselamatan dilakukan dan tahap keselamatan diperketatkan.
Selain itu juga, Menteri Keselamatan Mohammad Mahfud berkata, beliau akan mengatuai siasatan untuk meneliti pelanggaran undang-undang menerusi insiden tersebut sekaligus akan memberikan cadangan kepada presiden berhubung penambahbaikkan yang boleh dibuat.
Disamping itu, Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) juga telah melarang Kelab Arema FC daripada menganjurkan perlawanan bola sepak untuk sepanjang musim ini.
Dalam pada itu, Presiden Arema FC, Gilang Widya Pramana juga mengambil kesempatan menzahirkan kedukaan dan memohon maaf kepada mangsa dan juga seluruh rakyat Indonesia.
“Saya bersedia untuk bertanggungjawab sepenuhnya atas tragedi di stadium.
“Saya sedia menghulurkan bantuan, walaupun ia tidak akan dapat mengembalikan nyawa mangsa,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Arema di Malang, semalam.
BACA: Gadis Tionghua Hidupkan Seni Melayu, Diangkat Jadi Cikgu Zapin Di Negara China
Sumber: Kompas.com