
Tradisi Pertunangan Mewah Masyarakat Muslim Di China Jadi Bualan Ramai
Setiap negara di dunia memiliki cara tersendiri dalam merayakan pertunangan, mencerminkan budaya, adat resam dan nilai masyarakatnya.
Dari upacara yang sederhana hingga majlis yang penuh kemewahan, tradisi pertunangan bukan sekadar simbol janji perkahwinan, tetapi juga merupakan cerminan identiti dan sejarah sesebuah komuniti.
Misalnya, di beberapa negara Eropah, pertunangan diraikan secara intim bersama keluarga terdekat, manakala di Asia, majlis pertunangan sering diserikan dengan pakaian tradisional, hantaran mewah dan pelbagai upacara adat.
Seperti tradisi pertunangan masyarakat Muslim di China, ia menyimpan keunikan tersendiri. Bukan sekadar diperkaya dengan nilai budaya dan agama, malah turut menonjolkan keindahan adat yang penuh simbol kasih sayang antara dua keluarga.
Baru-baru ini, sebuah majlis pertunangan menjadi tular di media sosial apabila seorang lelaki Muslim dari China berkongsi rakaman suasana pertunangan sepupunya.
Menerusi video yang dikongsikan @eatai786 di Tiktok, beliau menjelaskan majlis tersebut adalah pertunangan sepupunya yang berlangsung dalam komuniti Zheherenye iaitu kumpulan Muslim unik di China yang terkenal dengan topi tradisional lapan bucu.
Selain itu, beliau turut memaklumkan pihak pengantin lelaki memberikan hantaran bernilai 300,000 RMB (kira-kira RM177,000).
Manakala pihak perempuan pula membawa barang kemas emas dan sebuah rumah sebagai hantaran perkahwinan.
Setiap elemen dalam majlis dari pemilihan hantaran hingga upacara tradisional mencerminkan perpaduan budaya dan agama yang dijunjung tinggi dalam komuniti Muslim di China.
Video berdurasi 57 saat turut memaparkan keindahan adat pertunangan masyarakat tersebut, dengan setiap upacara dijalankan penuh tertib dan makna.
@eatai786 berkata jumlah hantaran besar itu merupakan pemberian daripada pihak lelaki kepada keluarga pengantin perempuan.
Namun begitu, sebahagian daripadanya biasanya akan dipulangkan semula sebagai tanda niat baik dan penghargaan.
Baginya, perkahwinan bukan sekadar penyatuan dua insan, tetapi juga hubungan antara dua keluarga yang dibina atas dasar kasih sayang, kepercayaan dan penghormatan.
Sumber: @eatai786 via TikTok