Toyota Eco Youth 2024 Labuh Tirai Dengan SMK Choong Hua, Perak Dinobat Sebagai Juara
SHAH ALAM, 14 NOVEMBER 2024 – UMW Toyota Motors Sdn Bhd (UMWT) menutup tirai Toyota Eco Youth (TEY) edisi ke-23 dengan jayanya pada majlis yang berlangsung di Concorde Hotel, Shah Alam, selepas berakhirnya pameran dan konvensyen selama tiga hari bermula 12 hingga 14 November 2024.
Pameran dan konvensyen yang berlangsung selama tiga hari itu turut mengetengahkan projek-projek berkaitan alam sekitar oleh 10 finalis terbaik dari 15 sekolah yang mengambil bahagian dari seluruh pelusuk negara. Acara ini turut menyerlahkan komitmen Toyota terhadap pemuliharaan alam sekitar dan visinya ke arah neutral karbon menjelang 2050.
Memperkasakan Belia demi Masa Depan Lestari

Program Toyota Eco Youth, satu inisiatif pendidikan alam sekitar peringkat kebangsaan yang dilancarkan pada 9 Mei 2024 itu telah meraih penyertaan daripada 15 sekolah di seluruh negara, melibatkan pelajar berusia 13 hingga 17 tahun. Para peserta terbabit dalam Metodologi Penyelesaian Masalah 8 Langkah Toyota yang mengasah pemikiran kritis serta membina kemahiran menyelesaikan masalah secara praktikal. Setiap sekolah menerima geran sebanyak RM3,000 untuk membangunkan projek yang dapat menangani cabaran alam sekitar dalam komuniti mereka, selaras dengan Cabaran Alam Sekitar Toyota 2050 dan matlamatnya untuk mencapai sasaran neutral karbon menjelang 2050.
Sorotan Pameran dan Penilaian
Pada 13 November 2024, 10 sekolah terbaik membentangkan projek mereka kepada panel hakim, pembentangan yang mengetengahkan penyelesaian kreatif dan berimpak tinggi mereka dalam membantu menangani isu ekologi komuniti setempat. Kriteria penilaian berpaksikan kepada keaslian, kejelasan, kerelevanan dan kreativiti pameran. Penilaian di tapak pameran menyumbang 40% kepada markah akhir setiap sekolah, dengan mata tambahan diperoleh daripada pembentangan projek, pameran dan penglibatan media sosial.
Berikut adalah senarai 10 sekolah terbaik dalam Toyota Eco Youth 2024:
SMK Bukit Batu, Johor
SMK Alor Janggus, Kedah
SMK Sultan Ismail, Kelantan
SMK Seri Bentong, Pahang
SMK Choong Hua, Perak
SM Sung Siew Sandakan, Sabah
SMK Bukit Indah, Selangor
SMK Bandar Samariang, Sarawak
SM Saint Anne, WP Labuan
SMK Putrajaya Presint 8(1), WP Putrajaya
Pengiktirafan dan Anugerah
Majlis penutup turut dilengkapkan dengan pengumuman para pemenang dalam pelbagai kategori, penghargaan untuk meraikan dan menggalakkan sumbangan mereka ke arah kelestarian alam sekitar. Berikut adalah senarai pengiktirafan dan anugerah bagi TEY2024:
Juara: SMK Choong Hua, Perak
Naib Juara: SM Sung Siew Sandakan, Sabah
Tempat Ketiga: SMK Alor Janggus, Kedah
Pembentangan Terbaik: SM Sung Siew Sandakan, Sabah
Pameran Terbaik: SMK Alor Janggus, Kedah
Media Sosial Terbaik: SMK Choong Hua, Perak
Guru Penasihat Terbaik: Mr Lee Tack Hooi & Ms Yeak Hwai Keen, SMK Choong Hua, Perak
Anugerah tahun ini yang menjadi sebahagian daripada jumlah keseluruhan hadiah berjumlah RM77,000 yang diumumkan, mencerminkan komitmen UMWT untuk merangsang inovasi dan kreativiti dengan tumpuan terhadap pemuliharaan alam sekitar dalam kalangan belia.
Pemuliharaan Alam Sekitar dan Sasaran Neutral Karbon Menjelang 2050
Sejak dilancarkan pada tahun 2001, program Toyota Eco Youth telah berkembang daripada hanya sebagai inisiatif tempatan kepada program lebih besar di peringkat kebangsaan, melibatkan hampir 600 sekolah dan lebih 300,000 pelajar di seluruh negara. Program yang menjadi sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) UMWT ini menekankan misi UMWT untuk memperkasakan para belia dengan slogan “Move Your World” dalam menangani cabaran ekologi dalam komuniti.
“Program Toyota Eco Youth bukan hanya selari dengan Cabaran Alam Sekitar Toyota 2050, malah menjadi langkah penting dalam membentuk ‘penjaga’ alam sekitar generasi baharu yang turut menyumbang dalam visi kami untuk mencapai sasaran neutral karbon menjelang 2050. Matlamat kami juga adalah untuk memastikan projek-projek dalam program TEY tahun ini memberi impak berpanjangan kepada komuniti setempat.” Kata Datuk Ravindran K., Presiden UMW Toyota Motor.
Toyota Eco Youth 2025
UMW Toyota turut mengumumkan bahawa program Toyota Eco Youth akan diteruskan pada tahun 2025 bagi menyokong inovator muda, selain menggalakkan lagi sikap kebertanggungjawaban dalam pemuliharaan alam sekitar ke arah masa depan lebih hijau dan lestari. UMWT berharap dapat meneruskan program ini untuk tahun-tahun akan datang, sambil memberi inspirasi kepada generasi masa depan untuk mengambil langkah bermakna ke arah pemuliharaan alam sekitar.
Untuk maklumat lanjut mengenai program Toyota Eco Youth, layari https://www.toyota.com.my/toyotaecoyouth/.