Gambar Via Bloomberg

Tolak Hak Paten Vaksin Supaya Boleh Dijual Lebih Murah & Cepat Diagih, Kenali Sarah Gilbert, Pencipta AstraZeneca Yang Tak Mahu Kaut Untung

Sofea

Seiring dengan pertambahan kes COVID-19, kebanyakan negara juga kini sedang giat mendapatkan vaksin bagi mencapai imuniti kelompok dengan secepat mungkin agar dapat membendung penularan jangkitan dalam kalangan masyarakat.

Salah satu vaksin yang digunakan dengan meluas adalah vaksin Oxford-AstraZeneca yang dikatakan mempunyai tahap keberkesanan sehingga 90%.

Pun begitu, mungkin ramai yang masih belum mengenali Sarah Gilbert iaitu individu yang bertanggungjawab membuat vaksin AstraZeneca ini. Namanya tidaklah sering disebut-sebut namun sumbangannya dalam mencipta vaksin itu sangatlah besar.

Minatnya pada bidang sains

Sarah merupakan ahli virologi di Institut Jenner & Nuffield Department of Clinical Medicine di University Oxford.

Selain memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Biologi dari University of Est Anglia, dia juga melanjutkan program kedoktorannya dalam jurusan genetik dan biokimia di University of Hull.

Turut terlibat dalam penyelidikan vaksin malaria

Dilahirkan di England, Sarah memulakan kariernya pada tahun 1994 melalui penyelidikan vaksin malaria yang diusahakan bersama Adrian Hill yang kini menjadi pengarah Institut Jenner.

Bukan itu sahaja, dia juga bergiat aktif untuk mencipta vaksin bagi penyakit Ebola dan Middle East Respiratory Syndrome (MERS).

Yayasan vaksin Oxford COVID-19 dibangunkan berdasarkan kerja penyelidikan yang disusun dengan sangat sukar oleh kedua individu tersebut selama bertahun-tahun dan berjaya dipatenkan oleh mereka.

Kejayaan itu memperlihatkan mereka dianugerahkan 2.2 juta pound dari Institut Penyelidikan Kesihatan Nasional dan Penyelidikan dan Inovasi UK pada Mac 2020.

Hasil usahanya itu juga adalah kerana minat yang mendalam dalam bidang sains dan dia tidak mudah berputus asa terhadap setiap penyelidikan yang dilakukan.

Menolak hak paten vaksin

Walaupun telah berusaha mencipta vaksin tersebut, Sarah dikatakan tidak mengambil keuntungan dari hak paten vaksin AstraZeneca dan membolehkan ia dihasikan dalam jumlah yang banyak dengan harga yang murah.

Ia membolehkan negara-negara membangun atau berpendapatan rendah mendapat akses yang secukupnya kepada vaksin tersebut.

Tidak seperti vaksin yang dihasilkan oleh Pfizer-BioNTech, vaksin AstraZeneca boleh disimpan di dalam peti sejuk jenis konvensional yang digunakan untuk menyimpan vaksin di seluruh dunia dengan jangka hayat hingga enam bulan, selain mudah untuk diangkut.

Ia juga sudah menjadi sebahagian daripada Covax iaitu inisiatif global yang diharapkan dapat mengagih sekitar 2 bilion dos ke 92 buah negara yang berpendapatan rendah dan sederhana dengan kos maksimum sebanyak USD$3 (RM12.67) per dos.

Keikhlasannya melepaskan hak paten untuk vaksin itu sangat dipuji kerana ia sesuatu yang sangat jarang berlaku terutama ketika perniagaan industri farmasi berkembang sejajar dengan semangat kapitalisme dan individualisme yang mengutamakan keuntungan buat diri sendiri dan bukan kepada manusia yang lain.

“Saya tidak mahu mengambil hak paten sepenuhnya, sesiapa sahaja boleh membuat vaksin mereka untuk mengatasi pandemik ini,” katanya kepada Reuters.

Terbukti, penggunaan vaksin tersebut boleh membekalkan perlindungan terhadap COVID-19.

Disebabkan itu juga, dia telah mendapat tepukan yang gemuruh semasa menjadi penonton dalam pertandingan tenis di Wimbledon pada akhir bulan lalu.

Sumber: Hindustan Times, Kompas, The Guardian, CNBC Indonesia