Tol percuma Deepavali
Kredit: BERNAMA

Tol Percuma Sempena Deepavali – Menteri Kerja Raya

Hannah

Tol Percuma Sempena Deepavali – Menteri Kerja Raya

Sempena sambutan perayaan Deepavali, pengguna lebuh raya akan menikmati tol percuma bermula 29 Oktober hingga 30 Oktober ini.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, tol percuma ini bakal dilaksana di semua lebuh raya di seluruh negara.

Ia akan bermula tepat jam 12.01 tengah malam pada 29 Oktober, dan berakhir pada 11.59 malam, 30 Oktober (Rabu).

“Kos pemberian tol percuma yang dianggarkan sebanyak RM38 juta itu akan ditanggung oleh Kerajaan Madani dengan bayaran pampasan dibuat kepada semua syarikat konsesi tol yang terlibat.

“Pengecualian tol akan diberikan hanya kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) sahaja di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA) Johor Darul Takzim.

“Pemberian tol percuma ini adalah selaras dengan teras utama Kerajaan Madani iaitu Kesejahteraan dan Ihsan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat disamping mengukuhkan budaya perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pengguna lebuh raya agar memanfaatkan kemudahan ini dengan bijak dan merancang perjalanan dengan rapi bagi memastikan kelancaran trafik.

“Pada masa sama, saya mewakili Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan semua syarikat konsesi lebuh raya memohon supaya semua pengguna jalan raya memandu dengan berhemah mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan.

“Berehatlah jika keletihan dan mengantuk. Bersama-samalah kita semua bekerjasama dalam menjadikan lebuh raya kita selamat, bersih dan selesa serta mengurangkan statistik kemalangan jalan raya Malaysia,” tambahnya lagi.

BACA: Semarak @ Muzium Kota Kuala Kedah: Muzium Dan Komuniti

BACA: PNM Anjur Program Singgah Santai@PNM Bertemakan ‘Lestari Biodiversiti Ke Arah Masyarakat Harmoni’

BACA: BMS 2024 Membudayakan Amalan Menabung

Sumber: Malaysia Gazette