Tokyo: Pendakwa Peroleh Waran Tangkap Baharu Terhadap Bekas Bos Nissan

Aqmal Ezany

TOKYO, 31 Jan (Bernama) — Pihak pendakwa di Tokyo memperoleh waran tangkap baharu terhadap bekas bos Nissan Motor Co, Carlos Ghosn, kerana melanggar undang-undang imigresen Jepun, menurut sumber pada Khamis.

Beliau yang ditahan pada November 2018 kerana didakwa melakukan penyelewengan, dibebaskan dengan ikat jamin pada April 2019 yang menghalangnya meninggalkan negara itu.

Agensi berita Xinhua melaporkan, Ghosn yang memiliki kerakyatan Brazil, Perancis dan Lubnan pada 29 Disember telah melarikan diri ke Jepun untuk ke Lubnan melalui Turki.

Ghosn berlepas dari Jepun menuju ke Lubnan, dipercayai bersembunyi dalam sebuah bekas besar yang digunakan untuk mengisi peralatan muzik, dan pesawat peribadi yang membawanya berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai, di wilayah Osaka.

Menteri Kehakiman Masako Mori mengatakan bekas hartawan permotoran berusia 65 tahun itu meninggalkan Jepun secara haram.

Jepun dan Lubnan tidak mempunyai perjanjian ekstradisi, bermakna Ghosn tidak boleh dihantar pulang ke Jepun untuk dibicarakan tanpa persetujuan Lubnan.

Sumber: BERNAMA