
Tiub Di Hidung, Isteri Gigih Buat “Live” Bersama Suami Terlantar Cari Rezeki
Sedang kita lena diulit mimpi beralaskan tilam empuk, ada yang bersengkang mata mencari rezeki tanpa mengharap simpati.
Dahulu, pasar malam menjadi tempat utama untuk berniaga selepas terbenamnya matahari. Berikutan itu, hanya mereka yang punya kudrat berpeluang mencari duit lebih.
Namun kini tidak lagi. Kehadiran teknologi membolehkan golongan yang kurang upaya mencari rezeki menerusi siaran langsung tanpa mengira waktu.
Di sebalik limpahan peluang ini, terselit pelbagai kisah kehidupan yang jarang kita dengar. Tanpa disangka, wadah ini juga menemukan insan berhati mulia buat meringankan beban yang lain.
Pada mulanya, seorang pengguna Facebook, Afiq Noordin tidak berniat untuk menghabiskan masa terluangnya menonton siaran langsung di TikTok.
Namun, keadaan sepasang suami isteri ini menarik perhatian lelaki berkenaan untuk mendengar kisah mereka.
“Pasangan ini agak unik, dua-dua pakai tiub di hidung.
“Seorang lelaki sedang terbaring di belakang manakala seorang wanita sedang bercerita tentang aromaterapi dan pewangi kereta,” kongsinya memulakan kisah.
Menurutnya, wanita yang dikenali dengan nama Azlina itu tidak langsung membuka kisah untuk meraih simpati, hanya menjual dengan bersahaja. Tidak semena-mena, seorang penonton siaran langsung tersebut melontarkan soalan yang terbuku di hati.
Penonton berkenaan bertanya mengenai sakit yang dihidapi wanita tersebut.
“Kak Azlina jawab seperti dah biasa ditanya dengan soalan ini, seperti orang yang bercakap sambil mengingat semula kisah hidup mereka,” ujarnya.
Menurut Azlina, dia dan suaimnya dilahirkan normal. Mereka mengalami kecedaraan saraf tunjang disebabkan kemalangan sebelum mereka melangsungkan perkahwinan.
Kemalangan jalan raya yang berlaku pada tahun 2007 itu mengakibatkan dirinya terlantar selama tujuh tahun sebelum pulih dan bangun semula.
Suaminya pula yang dikenali sebagai Nazri, ditakdirkan terjatuh bangunan ketika sedang bekerja memasang pendingin hawa di Kuala Selangor pada 2014.
“Sejak itu, dia lumpuh dan kini sudah lebih 12 tahun menjalani kehidupan sebagai OKU,” sambung Afiq.
Wanita berkenaan sempat memohon orang ramai mendoakan kesembuhan buat mereka menerusi siaran langsung tersebut.
Perkongsian kisah tidak terhenti di situ.
Rupa-rupanya, Azlina bangkit menubuhkan kumpulan sokongan pemulihan pesakit kecederaan saraf tunjang, Support Group Rehab Sungai Buloh selepas dua tahun mampu berjalan semula.
“Dia menjadi ketua kumpulan itu dan tugasnya adalah memberi sokongan kepada pesakit lain supaya mereka tidak berjuang sendirian.
“Dalam salah satu ziarah itulah, kak Azlina datang ke rumah abang Nazri,” kongsi lelaki tersebut.
Melihat keadaan Nazri yang terlantar dan memerlukan penjagaan khusus, hati wanita tersebut tersentuh lalu meminang lelaki berkenaan.
Namun, pinangan tersebut ditolak berikutan rasa tanggungjawab yang menebal. Dengan berbekalkan hanya RM300 bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, lelaki berkenaan enggan menerima Azlina sebagai surinya.
Wanita tersebut meyakinkan Nazri bahawa dia hanya ingin bangkit menghadapi hidup ini bersama-sama dan akhirnya, ijab dan kabul dilafazkan.
“Selepas hampir setahun berkahwin, kak Azlina membantu abang Nazri menjalani fisioterapi di Melaka.
“Dengan usaha, latihan dan sokongan, abang Nazri mampu berdiri, memegang objek dan menolak kerusi roda sendiri,” sambung lelaki itu.
Belum sempat menarik nafas lega, pasangan ini diuji sekali lagi apabila Nazri disahkan menghidap tumor spine berhampiran batang otak.
Berikutan itu, dia kembali terlantar tetapi masih boleh berinteraksi dan memberikan respon.
Ketika ditanya berkenaan penggunaan tiub di hidung, wanita tersebut menjelaskan keadaan mereka suami isteri.
Azlina terpaksa menggunakan tiub berikutan tidak mampu menelan. Berlainan pula bagi suaminya.
Berkongsi kisah bersama SK, Azlina menjelaskan bahawa suaminya terpaksa menggunakan tiub apabila menghidap autoimmune.
“Autoimmune serang mulut dan tubuh menyebabkan mulut suami ulser dan radang kalau makan. Dia boleh menelan tapi tak boleh mengunyah kerana radang,” jelas wanita tersebut.
Bercakap tentang jualan yang dibuat menerusi siaran langsung itu, wanita itu menjelaskan bahawa mereka perlu menjual produk bagi menampung perbelanjaan harian.
Antara keperluan mereka termasuk pembelian susu dan lampin pakai buang.
Lebih mengejutkan, dalam keadaan mereka yang serba memerlukan, pasangan tersebut masih sempat menubuhkan Rumah Harapan Nur Aafiyah bagi membantu keluarga di luar sana.
Mengakhiri siaran tersebut, wanita berkenaan sekali lagi menzahirkan hasrat di hatinya agar orang ramai mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan mereka berdua.
“Jika kita rasa kisah ini menyentuh hati, saya mohon agar semua dapat hulurkan sokongan dengan cara yang kita mampu.
“Sama ada dengan membeli produk mereka atau sekurang-kurangnya bantu hebahkan kisah dan usaha pasangan ini kepada orang lain,” titip lelaki tersebut.
Menerusi makluman terkini, lelaki berkenaan mengesahkan pasangan ini merupakan penerima bantuan pusat zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Sumber: Facebook Afiq Noordin