
Titah Adendum: Kerajaan Kekal Pegang Teguh Kepada Prinsip Penegakan Negara Hukum, Pengasingan Kuasa
KUALA LUMPUR — Kerajaan MADANI kekal berpegang teguh kepada prinsip penegakan negara hukum serta pengasingan kuasa susulan berhubung keputusan titah adendum Datuk Seri Najib Razak pada Isnin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran menegaskan bahawa badan kehakiman mesti dan akan terus bebas daripada sebarang pengaruh luar.
Sehubungan itu, beliau menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Hakim berdasarkan prinsip berkenaan.
“Saya ingin merujuk kepada penghakiman berhubung isu Titah Adendum yang diputuskan semalam.
“Ingin ditegaskan bahawa Kerajaan MADANI kekal berpegang teguh kepada prinsip penegakan negara hukum serta pengasingan kuasa.
“Badan kehakiman mesti dan akan terus bebas daripada sebarang pengaruh luar. Atas prinsip inilah saya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Hakim.
“Maka, atas prinsip kedaulatan undang-undang, semua pihak wajar menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Hakim.
“Ia termasuk ruang dan saluran perundangan yang masih tersedia untuk mengemukakan rayuan, selain kepada Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan peruntukan undang-undang yang ada.
“Saya menyeru semua pihak agar menangani isu ini dengan penuh sabar dan bijaksana.
“Sekalipun ada pihak yang memilih untuk tidak menzahirkan simpati kepada Dato’ Sri Najib Razak dan keluarganya, adalah tidak wajar untuk mengeruhkan suasana atau menambah ketegangan dalam keadaan yang sensitif ini,” maklumnya dalam hantaran di Facebook rasmi miliknya.
Semalam, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung titah adendum yang didakwa membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara beliau di bawahan tahanan rumah.
Hakim Alice Loke Yee Ching membuat keputusan itu selepas mendapati titah berkenaan tidak dibincang atau diputuskan semasa Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Jan 2024.
Susulan keputusan itu, Najib perlu menjalani baki hukumannya di Penjara Kajang.
Sumber: Facebook Anwar Ibrahim