Di musim perayaan aidilfitri yang bakal tiba ini, pasti ramai antara kita yang memilih untuk beraya di kampung kerana kebanyakannya merantau mencari rezeki di kota.
Namun harus juga perlu diingati akan keselamatan dan sentiasa bersedia dalam soal keselamatan semasa hendak melakukan perjalanan jarak jauh.
Tiap-tiap tahun ada sahaja kes-kes kemalangan yang membabitkan kehilangan nyawa orang yang tersayang. Sudah semestinya anda tidak mahu ketibaan anda disambut dengan penuh kedukaan bukan.
Kes-kes kemalangan maut yang berlaku, selalunya melibatkan penumpang yang berada dalam sesuatu kenderaan tersebut. Mungkin kebanyakan penumpang di negara kita terlalu memandang remeh soal pemakaian tali pinggang ataupun kurang kesedaran berkenaan hal itu.
Jadi, untuk mengelakkan daripada berita kepulangan anda bertukar menjadi kedukaan yang pahit ditelan oleh ibu bapa anda yang menantikan kepulangan anda di kampung, ikuti perkongsian yang dikongsi oleh PDRM berkenaan dengan tip untuk keselamatan penumpang kenderaan.
SEMBANG TRAFIK
TIP-TIP KESELAMATAN PENUMPANG KENDERAAN
Keselamatan pemandu dan penumpang kenderaan adalah perkara asas yang perlu dititikberatkan ketika berada di jalan raya. Di sini kami kongsikan beberapa tip keselamatan bagi penumpang kenderaan.
Perkara yang patut dilakukan:
i. Sentiasa memakai tali pinggang keledar walaupun jarak perjalanan yang dekat.
ii. Pastikan tali pinggang keledar dipasang melintangi bahagian dada dan pinggul.
iii. Periksa tali pinggang keledar agar berfungsi dengan baik.
iv. Gunakan kerusi keselamatan atau kerusi sokongan untuk kanak-kanak.
Perkara yang patut dielakkan:
i. Jangan memakai tali pinggang keledar yang berpintal.
ii. Jangan letakkan tali pinggang keledar di bawah lengan atau di belakang badan setelah dipasang.
iii. Elakkan memangku anak di atas riba.
iv. Jangan berkongsi tali pinggang keledar dengan anak.
Gambar: FB Jabatan Keselamatan Jalan Raya#SayangiDiri
#IngatOrangTersayang
Sumber: FB PDRM