ALOR SETAR, 7 Jan – Kerajaan negeri Kedah akan meningkatkan penguatkuasaan dan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) untuk perkhidmatan feri ke Langkawi bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata perkara berkenaan perlu diberi perhatian yang serius kerana didapati ada pengguna perkhidmatan feri tidak mengikut SOP, antaranya, menanggalkan pelitup muka semasa berada dalam feri.
“Kementerian Pengangkutan telah keluarkan SOP bagi perkhidmatan pengangkutan awam, jadi kita kena kuatkuasakan. Masalah berlaku bila tiada penguatkuasa yang memantau SOP dalam feri,” katanya kepada pemberita selepas majlis Perhimpunan Pagi Penjawat Awam di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai situasi COVID-19 di negeri ini, terutamanya di Langkawi yang menjadi tumpuan pelancong selepas pergerakan merentas negeri dibenarkan di seluruh negara sejak awal Disember lalu.
Dalam pada itu, katanya Jabatan Kesihatan Negeri Kedah menerusi datanya juga mendapati memang berlaku peningkatan kes COVID-19 di negeri ini, selepas pergerakan merentas negeri dibenarkan.
“Hendak rentas negeri itu tiada masalah, yang menjadi masalahnya apabila ada yang tidak mematuhi SOP sehingga mendatangkan risiko kepada orang lain terutamanya mereka yang berisiko tinggi,” katanya.
–BERNAMA