
Tingkap Tercabut, Pesawat Alaska Airlines Terpaksa Mendarat Cemas
Sebuah penerbangan milik Alaska Airlines terpaksa melakukan pendaratan kecemasan selepas satu bahagian tingkap dan chunk tercabut ketika dalam penerbangan.
Memetik Economic Times, pesawat itu berlepas dari Portland, Amerika Syarikat sekitar jam 4.52 petang waktu tempatan dan sedang dalam perjalanan menuju ke Ontario, California.
Namun begitu, sekitar jam 5.30 petang, pesawat itu kemudian meminta untuk melakukan pendaratan kecemasan secara tiba-tiba.
Beberapa keping gambar menunjukkan keadaan pesawat penerbangan itu kemudian menjadi tular di media sosial.
Sementara itu, syarikat penerbangan Alaska Airlines dalam kenyataan ringkas mengesahkan kejadian yang menimpa pesawatnya.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyebut secara terperinci situasi yang berlaku.
Menurut Alaska Airlines, penerbangan 1282 Alaska Airlines mengalami insiden kecemasan sejurus selepas berlepas.
Pesawat yang membawa 171 penumpang dan enam orang anak kapal itu berjaya berpatah balik dan mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Portland.
Tambah kenyataan itu lagi, siasatan berhubung kejadian itu sedang dilakukan dan segala hasil keputusan siasatan akan didedahkan apabila ia selesai.
Dalam pada itu, video berkenaan kejadian turut tersebar dan dikongsikan di beberapa media sosial. Salah satu video yang tersebar telah dikongsikan oleh laman X milik @rawsalerts.
Menerusi perkongsian video tersebut, pintu pesawat berkenaan dilihat telah tercabut dan topeng oksigen telah keluar dari atas tempat duduk penumpang.
Rakaman yang dibuat oleh salah seorang penumpang pesawat tersebut turut menunjukkan anak kapal cuba menenangkan penumpang yang cemas.
“Pendaratan kecemasan terpaksa dilakukan oleh Alaska Airlines 1282 di Lapangan Terbang Antarabangsa Portland pada malam Jumaat.
“Pesawat menghadapi tekanan yang kuat, menyebabkan bahagian tingkap yang besar dan tempat duduk tidak berpenghuni tercabut.
“Kejadian itu juga menyebabkan ada baju penumpang kanak-kanak terkoyak. Pesawat Boeing 737-900/-9MAX itu mencapai ketinggian maksimum 16,300 kaki sebelum mendarat semula di Lapangan Terbang Antarabangsa Portland.
“Sehingga kini, tidak jelas jika ada mana-mana penumpang mengalami kecederaan,” tulis salah satu muat naik perkongsian di laman X.
BACA: Tak Ada Kaitan Dengan Musang, Ini Asal Usul Nama Durian Musang King Yang Ramai Tak Tahu
Sumber: Economic Times, Alaska Airlines