Hidup di tanah orang bukanlah mudah. Sudahlah jauh dari keluarga, gaya hidup dan budaya yang berbeza kadangkala menjadi antara halangan yang perlu ditempuhi.
Bukan itu sahaja, kadangkala apa yang berlaku pun perlu ditempuh sendiri dengan sokongan rakan senegara dan empati jiran yang berbaik hati.
Baru-baru ini, Uncle Kentang atau nama sebenarnya Kuan Chee Heng berkongsi kisah menyayat hati mengenai nasib seorang warga Indonesia yang telah meninggal dunia di negara kita sejak Julai lalu.
Beliau yang terkenal dengan perkhidmatan pengurusan jenazah percuma telah dihubungi seorang individu yang mengaku sebagai jiran si mati.
Kata jiran berkenaan, si mati tidak mempunyai waris dan saudara-mara terdekat di Malaysia. Malah, urusan pengebumiannya juga menjadi lambat kerana faktor dokumentasi.
“Salam uncle, boleh tak tolong derma untuk kos pengebumian jiran saya. Warga Indonesia. Khidmat pengebumian RM2500 untuk kos pengebumian dia. Meninggal pada 11 Julai tapi urusannya agak lambat kerana meninggal menggunakan passport orang lain.
“Saya sebagai jiran sudah membuat laporan polis untuk pengecaman mayat. Dia tak ada saudara-mara dekat Malaysia. Cuma ada jiran-jiran saja. Di sini saya sertakan butiran si mati.
“Kesian dia sudah jadi tulang dengan kulit sahaja dalam peti mayat,” tulis individu berkenaan seperti dikongsikan Uncle Kentang.
Gambar: Uncle KentangDalam kiriman yang lain, Uncle Kentang berkongsi pendiriannya dalam pengurusan individu yang telah meninggal dunia.
Kita bantu mereka yang sudah pulang
Kita urus mayat, tak kira PATI atau bukan. Penghormatan adalah kepada mayat dan bukan status kewarganegaraan. Hanya semua dokumen lengkap, kelulusan di perolehi… kita permudahkan.
Semua adalah insan Tuhan. Mari lakukannya. Kita harus tanam semangat kemanusiaan tanpa perbezaan kulit, warna, agama dan kewarganegaraan hanya masing masing perlu dijalankan atas kelulusan autoriti dan mengikut agama masing masing.
Sebelum kita mati, kita buat kawan dengan yang baru mati. Nanti kita mati, ramai kawan yang mati sebelum kita tunggu ketibaan kita di sana.
Sumber: Kuan Chee Heng