Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin menyatakan bahawa sebanyak 86% populasi dewasa di negara ini dilaporkan sudah lengkap divaksinasi.
Menerusi ciapan akaun Twitter rasmi beliau, hanya 4% sahaja lagi diperlukan bagi membolehkan larangan aktiviti rentas negeri dapat ditarik semula.
“86% populasi dewasa telah lengkap divaksinasi. Tinggal 4% sahaja lagi untuk kami menarik semula larangan merentas negeri,” tulisnya.
Tambahnya lagi, dengan mobiliti yang besar, pasti akan ada lebih banyak perjumpaan.
Justeru daripada itu, beliau menyeru kepada orang ramai supaya dapatkan kit ujian COVID-19 sekiranya mengalami simptom dan cepat-cepat mengasingkan diri sekiranya positif.
“Sekiranya anda mengalami simptom dapatkan kit ujian dan buat pemeriksaan sendiri. Sekiranya positif, asingkan diri anda secepat mungkin,” ujarnya.
Menurut Bernama, berdasarkan perincian yang dikongsi menerusi portal COVIDNOW hari ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan setakat pukul 11.59 malam tadi (1 Okt), seramai 20,317,843 individu atau 86.8 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19.
Setakat semalam juga, sebanyak 94.2 peratus atau 22,059,329 individu daripada populasi dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, seramai 71,779 atau 2.3 peratus daripada mereka telah melengkapkan suntikan vaksin setakat semalam.
Perincian itu juga memaklumkan sebanyak 237,245 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam melibatkan 103,021 dos pertama dan 134,224 dos lengkap, menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 43,933,988 dos.
Sumber: @Khairykj/BERNAMA