lubang benam Thailand
Gambar: The Nation Thailand

Tindakan Thailand Susulan Insiden Lubang Benam Gergasi Sedalam Lebih 50 Meter

Hannah

Tindakan Thailand Susulan Insiden Lubang Benam Gergasi Sedalam Lebih 50 Meter

Penduduk Thailand gempar apabila laluan utama di Jalan Samsen, Bangkok, tiba-tiba runtuh sehingga membentuk lubang benam gergasi sedalam kira-kira 50 meter.

Menurut Bangkok Post, insiden yang berlaku seawal pagi itu berlaku betul-betul di hadapan Hospital Vajira dan di atas stesen tren bawah tanah hospital berkenaan.

Lubang tersebut dianggarkan berukuran 30 meter panjang dan 30 meter lebar. Susulan kejadian, pihak berkuasa menutup sepenuhnya laluan antara simpang Vajira dan simpang Sanghi bagi tujuan keselamatan.

Bagaimanapun, setakat laporan Bangkok Post, tiada kecederaan dilaporkan.

Evakuasi hospital & penduduk sekitar

Perkhidmatan pesakit luar Hospital Vajira digantung serta-merta, manakala kira-kira 3,500 pesakit dalam telah dipindahkan dari bangunan berhampiran.

Bagaimanapun, laporan awal mengesahkan struktur utama hospital tidak mengalami kerosakan. Penduduk di beberapa pangsapuri berhampiran turut diarahkan berpindah.

Difahamkan, dua tiang elektrik serta sebuah kenderaan polis dilaporkan jatuh ke dalam lubang runtuhan.

lubang benam Thailand
Gambar: The Nation Thailand

Pasukan dari Pihak Berkuasa Elektrik Metropolitan (MEA) segera dikerahkan untuk mengawal keadaan.

Kebimbangan struktur & keselamatan

Kebimbangan turut timbul terhadap keselamatan Balai Polis Samsen setinggi lima tingkat selepas beberapa cerucuk asasnya didapati rosak akibat tanah mendap.

Laporan juga menunjukkan pergerakan tanah masih berlaku, sekali gus menyebabkan kawasan itu dipantau rapi.

Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt menjelaskan, runtuhan berlaku pada bahagian sambungan antara terowong dengan stesen tren bawah tanah.

Ini menyebabkan tanah mengalir masuk ke dalam terowong dan merosakkan struktur sekeliling termasuk paip air utama, lapor Bangkok Post.

lubang benam Thailand
Gambar: The Nation Thailand

Bekalan air dan elektrik di kawasan terbabit telah diputuskan untuk mengelakkan risiko lebih besar.

Antara langkah segera yang diambil termasuk menutup kebocoran terowong dan memeriksa keselamatan bangunan sekitar. Selain itu, mengawal trafik serta menilai risiko hujan yang boleh menyebabkan lebih banyak tanah runtuh ke dalam terowong.

Tindakan Kerajaan

Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul yang meninjau lokasi berkata, kerja-kerja pemulihan terowong dan jalan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya setahun.

Perkara itu akan dibincangkan sebagai isu mendesak dalam mesyuarat pertama kabinet baharu selepas mengangkat sumpah di hadapan Raja Thailand.

Beliau turut mengumumkan siasatan besar akan dijalankan, diketuai oleh Pihak Berkuasa Transit Rapid Massa (MRT).

Hospital milik kerajaan itu menangguhkan perkhidmatan pesakit luar selama dua hari, manakala pesakit dalam masih menerima rawatan.

Pihak Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) memaklumkan, pesakit luar boleh mendapatkan rawatan di hospital lain di bawah pengurusan BMA sepanjang tempoh ini.

Mesyuarat pemantauan akan diadakan dua kali sehari, pada jam 12 tengah hari dan 6 petang, bagi menilai perkembangan situasi tersebut.

BACA: Kanak-kanak Selamat ‘Landing’ Selepas Sembunyi Dalam Ruang Gear Pendaratan Pesawat

Sumber: Bangkok Post