tindakan sekolah buli mara
Gambar: Bernama

Tindakan Tegas Bakal Diambil Terhadap Pengurusan Sekolah MARA Jika Sorok Buli

Iqbal Yasir

Tindakan Tegas Bakal Diambil Terhadap Pengurusan Sekolah MARA Jika Sorok Buli

KUALA LUMPUR — Tindakan tegas dan keras bakal diambil jika terdapat mana-mana Institusi Pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang menyembunyikan kes berkaitan buli.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu muat naik di Facebook rasmi miliknya hari ini.

“Adalah satu kesalahan jenayah menyembunyikan kes BULI.

“Jika ada pihak pengurusan mana-mana Institusi Pendidikan MARA yang berbuat demikian kononnya nak jaga nama baik dan reputasi, tindakan tegas dan keras pasti akan diambil!” tegasnya dalam hantaran berkenaan.

Sebelum ini, beliau mendedahkan terdapat ibu bapa yang anak-anak mereka dibuang Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) kerana kes buli ingin memfailkan saman terhadapnya.

Saya dimaklumkan ada ibubapa yang anak-anaknya dibuang MRSM kerana kes BULI nak saman saya dan MARA. Saya katakan ‘Bring it on!’ ” katanya dalam hantaran tersebut.

Beliau menegaskan bahawa mahu menjaga keselamatan majoriti pelajar di institusi berkenaan daripada menjadi mangsa buli.

“Saya nak jaga keselamatan majoriti pelajar bukan segelintir yang berlagak samseng. #YouTouchYouGo” katanya.

Dalam pada itu, MARA pada minggu lepas mengumumkan kumpulan pertama warden Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) lantikan sepenuh masa daripada kalangan bekas polis dan tentera.

Menurut beliau, kumpulan pertama warden yang dilantik akan memulakan tugas di MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau mulai Isnin ini.

“Ini merupakan inisiatif terbaru MARA untuk memastikan isu buli dan kes-kes disiplin lain dapat dikekang di samping menjamin persekitaran pembelajaran di MRSM yang selamat dan sejahtera buat semua pelajar sebagaimana yang pernah saya sebut beberapa bulan lalu.

Warden-warden yang dipilih ini sudah melalui siri-siri tapisan termasuk sesi temu ramah komprehensif untuk memastikan pesara-pesara dari kalangan anggota beruniform ini benar-benar memenuhi kriteria yang digariskan oleh MARA,” jelas beliau.

BACA: Buli: Asyraf Wajdi Dedah Ada Ibu Bapa Pelajar Dibuang MRSM Mahu Saman

Tambah beliau, peranan warden sangat penting kerana asrama MRSM dianggap sebagai rumah kedua bagi pelajar untuk mempelajari adab hidup bermasyarakat, pengurusan masa, amanah dan tanggungjawab.

“Justeru, peranan warden bukan sekadar menjaga rutin harian; warden ialah pendidik watak—ibu bapa kedua—yang memastikan keselamatan terjaga, disiplin terbina dan kasih sayang dibudayakan. Tiada toleransi terhadap salah laku, namun pendekatannya mendidik, memulih dan adil.

“Moga-moga MRSM boleh menjadi model sekolah berasrama di peringkat nasional: selamat, berdisiplin, beradab dan membahagiakan,” katanya.

Sumber: Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki