
Times Square Sekali Lagi Jadi Tumpuan, Ratusan Umat Islam Tunai Solat Tarawih
Ratusan penganut agama Islam telah berkumpul di Times Square, New York untuk menunaikan solat sunat tarawih pada 10 Mac lalu, lapor AFP.
Perkara ini susulan menandakan permulaan bagi bulan Ramadan di sana, yang mana amalan solat sunat Tarawih hanya dapat didirikan pada tempoh ini.
Segelintir jemaah yang hadir turut mengenakan bendera dan pakaian yang melambangkan solidariti terhadap warga Gaza di Palestin.
Mereka telah menunaikan solat sunat tarawih dengan berlatar belakangkan cahaya lampu LED dari papan-papan iklan yang menjadi simbolik di mercu tanda Manhattan ini.
Salman yang merupakan seorang operator forklift dari Kaherah, Mesir, menyatakan perasaan terkejut melihat suasana tersebut.
“Saya terkejut, ini kali pertama saya datang ke sini. Saya dapat melihat komuniti Islam di sini,” ujarnya.
Lebih dari 100 jemaah telah hadir dalam sesi solat berjemaah, walaupun berdepan dengan cuaca yang sejuk dan berangin.
Dalam sesi tersebut juga, ada seorang lelaki yang menyanyikan lagu nasyid dan ada kanak-kanak yang mengalunkan petikan ayat al-Quran.
Selain itu, beberapa naskah al-Quran telah diedarkan kepada penganut agama Islam yang hadir dan orang ramai yang lalu lalang di sana.
Ahmad Yasar merupakan seorang pelajar jurusan IT di New York itu bersama pasukannya mengedarkan naskah kitab suci kepada orang ramai.
Yasar kemudiannya berucap dalam sesi kuliah berkenaan kepentingan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai berkenaan isu global termasuklah apa yang berlaku di Gaza.
Seperti yang diketahui, amalan menunaikan solat sunat tarawih di situ bukanlah pertama kali diadakan. Tahun-tahun sebelum ini iaitu 2022 dan 2023 juga menyaksikan ratusan umat Islam telah memenuhi perkarangan Times Square itu.
Ia bukan sahaja menarik perhatian pejalan kaki atau pengunjung yang lalu-lalang di situ tetapi juga telah tular di media sosial.
BACA: Ini Tips Untuk Khatam Al-Quran Di Bulan Ramadan
Sumber: AFP