Timbalan Menteri Kerja Raya Melawat Tapak Pembangunan Taman Perindustrian IBS
MACHANG, KELANTAN (16 Julai 2024) – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan meluangkan masa ke tapak pembangunan Taman Perindustrian Sistem Binaan Berindustri (IBS) di Sungai Bagan, Machang semasa lawatan kerja rasmi beliau di Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Datuk Seri Ahmad Maslan di dalam ucapannya menyatakan bahawa komitmen yang dibentuk oleh penggiat industri tempatan dan disokong oleh Kerajaan menjadikan Taman Perindustrian IBS di tanah berkeluasan 200 ekar sebagai peneraju dalam merancakkan ekonomi industri pembinaan khususnya di Wilayah Pantai Timur.
Pendekatan ini boleh dijadikan contoh untuk diadaptasikan di 6 Wilayah lain bagi melengkapkan jaringan ekosistem strategik IBS di seluruh Malaysia.
Pembangunan fasa pertama sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) telah bermula pada 15 Ogos 2022 dan dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Iktisas Negeri Kelantan (PKINK).
Antara skop utama bagi pembangunan fasa pertama adalah merangkumi penyediaan infrastruktur untuk 47 lot perindustrian, 60 lot komersial, 1 lot Pusat Kecemerlangan IBS, bangunan fasiliti, jalan, sistem perparitan dan sistem kumbahan melalui peruntukan EPU yang bernilai RM74.6 juta.
Peratusan kemajuan terkini bagi fasa pertama telah mencapai 48.3 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada 4 Mac 2025.
Dalam lawatan tersebut, Timbalan Menteri Kerja Raya turut memaklumkan bahawa Kementerian Kerja Raya (KKR) amat komited untuk memimpin perjalanan transformasi ini dan sedia untuk bekerja sama secara rapat dengan pihak berkepentingan dan rakan industri dalam merealisasikan pembangunan Taman Perindustrian IBS.
Hal ini agar ianya dapat mencapai matlamat untuk membina industri ke arah lebih progresif dan berpandangan jauh, selaras dengan visi Dasar Pembinaan Negara 2030.
Turut hadir semasa sesi lawatan ini adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Kaya Setia Dato’ Haji Nazran Muhammad dan Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Dasar & Pembangunan) KKR, Dato’ Zahrul Hakim bin Abdullah serta Ketua Pegawai Eksekutif PKINK, Dato’ Sr Zamri Bin Ismail dan Timbalan Ketua Eksekutif I CIDB, Tuan Haji Razuki Ibrahim.
Latar Belakang
Taman Perindustrian IBS di Sungai Bagan, Machang ini yang merupakan hasil kerjasama di antara Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Kerajaan Negeri Kelantan yang dimeterai pada Oktober 2021.
Pembangunan taman perindustrian ini bertujuan untuk menyediakan keperluan jaringan ekosistem strategik IBS khususnya bekalan bahan binaan dan tenaga mahir khususnya di Wilayah Pantai Timur.
Dilaksana oleh Perbadanan Kemajuan Ikhtisas Negeri Kelantan (PKINK), Taman Perindustrian IBS ini merupakan satu inisiatif yang digerakkan oleh penggiat industri tempatan dan dipimpin oleh Persatuan Kontraktor Perumahan Kelantan (PKPK) dengan meletakkan hasrat untuk memperluaskan pelaksanaan IBS di negeri Kelantan melalui usahasama bersama CIDB IBS Sdn. Bhd. (anak syarikat CIDB Malaysia) yang dijalinkan pada Februari 2018
Taman perindustrian ini dibangunkan secara berfasa yang dimulai dengan pembangunan infrastruktur khususnya bagi menyediakan fasiliti dan lain-lain kemudahan melalui peruntukan Kerajaan (Fasa 1) dan pembangunan bangunan industri dan komersial yang dibiayai oleh pengilang dan pihak berkepentingan (Fasa 2).
Sehingga kini, kesemua 47 lot perindustrian telah dimiliki dan terjual.