
Timang Anak Kembar Lima, Pasangan Ibu Bapa Terima Insentif RM529,000
Korea Selatan, negara dengan kadar kesuburan paling rendah di dunia menyambut kelahiran sensasi pasangan bayi kembar lima, baru-baru ini.
Berita tersebut menjadi tumpuan penduduk disana selepas pasangan ibu bapa kepada kembar itu bakal menerima geran lumayan daripada kerajaan.
Menurut Korea Herald, ibu bapa bayi kembar itu berasal dari Dongducheon, Wilayah Gyeonggi dan masing-masing bekerja sebagai seorang guru dan pegawai pentadbiran di sebuah sekolah di sana.
Manakala bayi kembar lima mereka yang dilahirkan beberapa minggu lepas terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan.
Ia merupakan kelahiran bayi kembar lima yang pertama dicatatkan di Korea Selatan.
Ibu bapa bayi kembar lima terima insentif RM529,000
Menerusi kelahiran tersebut, pasangan suami isteri itu akan menikmati insentif berjumlah kira-kira 170 juta Won (kira-kira RM529,000).
Insentif yang diterima itu merangkumi baucar tunai berjumlah 15 juta Won yang disediakan oleh kerajaan tempatan Dongducheon.
Baucar berkenaan boleh digunakan dimana-mana kedai di dalam bandar itu dengan syarat jualan tahunan kedai berkenaan kurang daripada 1 bilion Won.
Pasangan di Korea Selatan ini menerima banyak insentif
Seterusnya, mereka turut menerima pakej promosi bersalin bernilai 1 juta Won untuk kelahiran anak pertama dan 1.5 juta Won untuk anak kedua.
Pakej bernilai 2.5 juta Won akan diberikan kepada anak ketiga, diikuti 5 juta Won untuk anak keempat dan seterusnya.
Malah, bandar Dongducheon turut menyediakan insentif 3.5 juta Won sokongan penjagaan selepas bersalin, yang diberikan secara tunai.
Menurut Korean Herald lagi, secara berasingan pasangan suami isteri itu juga menikmati pelbagai insentif lumayan yang lain.
Antaranya Baucar Pertemuan Pertama daripada Kementerian Kebajikan berjumlah 14 juta Won.
Selain itu, mereka juga akan menikmati dua subsidi bulanan, iaitu elaun ibu bapa dan elaun anak-anak yang masing-masing berjumlah 85 juta Won dan 47.5 juta Won secara keseluruhan.
Dibawah Baucar Pertemuan Pertama, ibu bapa akan menerima insentif sebanyak 2 juta Won untuk anak pertama dan 3 juta Won untuk anak kedua serta seterusnya.
Manakala menerusi elaun ibu bapa yang diperkenal pada Januari 2023, pasangan itu akan menerima 1 juta Won sebulan untuk anak pertama bagi tempoh 11 bulan pertama selepas kelahiran.
Ia diikuti elaun sebanyak 3 juta Won sebulan untuk 11 bulan berikutnya.
Seterusnya menerusi elaun anak-anak, pasangan itu akan menerima sebanyak 100,000 Won sebulan untuk setiap bayi selama 95 bulan.
BACA: Pemilik Gerai Burger Dedah Berapa IShowSpeed Bayar Untuk Burger Ramly “Special”
Sumber: Korea Herald