Dua beranak warga negara Malaysia dilapor terlepas tiket balik ke tanah air kerana visa si anak dikatakan sudah tamat tempoh sehingga menyebabkan mereka berdua terkandas di negara jiran selama 20 hari.
Lebih menyedihkan, usaha si ayah dalam membawa pulang anaknya bertambah mencabar apabila dia diuji dengan pelbagai risiko, lebih-lebih lagi apabila terpaksa bergerak seorang diri di negara orang, tanpa siapa-siapa yang mengenali.
Difahamkan, si ayah yang bekerja sebagai pengawal keselamatan tekad mengumpul duit dan datang seorang diri ke Jakarta, Indonesia untuk membawa pulang anaknya yang sakit jantung semasa belajar.
Namun apabila tiba di lapangan terbang, visa anaknya dikatakan sudah tamat tempoh hingga mendorong kepada masalah kewangan serta kehabisan ubat akibat menguruskan hal-hal berkaitan (disebabkan terkandas).
Kisah pilu dua beranak terkandas diterima Ebit Lew
Kredit: FB Ebit LewKisah pilu dua beranak yang terkandas di bumi seberang itu mendapat perhatian pendakwah terkenal, Ebit Lew ekoran kasih sayang si ayah tersebut yang sanggup berkorban membawa anaknya pulang ke tanah air walaupun terpaksa tidur di merata tempat.
Ebit Lew berkongsi kisah ini menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya hari ini. Dalam hantaran itu, Ebit menulis:
“Sayu sebak rasa jumpa orang Malaysia di Jakarta. Berat ujian seorang ayah ini dan anaknya yang terkandas di sini. Saya terbaca di komen FB saya. Keluarga di Malaysia buat pelbagai usaha. Anaknya belajar di madrasah di Indonesia. Takdir Allah sakit. Kena bawa balik. Sampai di airport tak boleh balik kerana visa dah tamat. Tak boleh nak balik Malaysia sebab masalah visa ada denda,”
Difahamkan, menurut seperti apa yang dikongsikannya, si ayah ini hanya bekerja mencari rezeki dengan menjadi pengawal keselamatan. Namun setelah mendapat maklumat tentang anaknya sakit, dia tekad bermusafir ke Jakarta seorang diri.
Namun siapa sangka, di sebalik usahanya itu ada satu ujian lain yang menanti. Segalanya ‘bermula’ apabila visa anaknya dikatakan sudah tamat tempoh. Maka bermulalah satu episod ‘survival’ getir si ayah melewati hari-hari mencabar hingga terpaksa tidur di jalanan.
“Kuat ayah ni seorang diri kerja guard pergi ke sini seorang diri untuk bawa anak pulang. 20 hari menguruskan urusan nak bawa anaknya balik. Ke sana sini. Tidur di airport, di masjid dan di jalan. Tiket balik terlepas kerana hal visa. Sedih rasa. Duit semua habis. Hp habis bateri. Tak dapat nak keluarkan duit. Duit habis langsung. Dengan ubat jantung habis. Allahuakbar. Cinta seorang ayah buat anaknya yang semangat nak menuntut ilmu. Masa sampai tadi abang ni gembira sangat dan sebak wajahnya. Ucap terima kasih. Kagumnya lihat seorang ayah. Demi ilmu dan demi anak,”
Kredit: FB Ebit LewSi ayah ini menggalas tanggungjawabnya dengan betul sehingga membuatkan Ebit berasa kagum akan kesungguhannya dan mengambil peluang membantu dua beranak tersebut pulang ke tanah air. Segala masalah ‘terlerai’ jua akhirnya di imigresen.
Malah dalam masa sama, hasrat si ayah ini akhirnya termakbul kerana sebelum ini dia pernah teringin untuk bertemu sendiri dengan Ebit, namun tidak dijangka mereka berdua bertemu juga di sebalik konflik sulit di ‘perbatasan’ dua negara.
“Syukur tadi selesai dibantu kedutaan Malaysia di Jakarta. Kami ambil abang ini di imigresen Indonesia dan bawa abang ni ke hotel dan esok insyaAllah belikan tiket balik ke Malaysia. Saya tidur di mana-mana pun takper ustaz. Tak nak susahkan ustaz. Ya Allah abang ni. Allah bagi semua. Jom. Semoga Allah bantu dan mudahkan urusan abang sekeluarga. Katanya gembira sangat jumpa saya di sini. Dah lama teringin nak jumpa. Rupanya hikmah semua ini juga.”
Sumber: Facebook / Ebit Lew