SEMPORNA, 31 Jan (Bernama) — Keselamatan, kesihatan dan pendidikan menjadi teras keutamaan kerajaan negeri dalam membangunkan Sabah dan memastikan rakyat sejahtera, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong.
Beliau berkata tanpa ketiga-tiga teras itu, usaha kerajaan untuk memajukan negeri akan berdepan kesukaran dan ia juga memerlukan kerjasama semua pihak.
Dari aspek kesihatan misalnya, beliau berkata jika ramai rakyat yang sakit, ia akan menyebabkan perbelanjaan lebih tinggi terpaksa ditanggung kerajaan untuk membeli ubatan dan memerlukan doktor pakar.
“Perkara ini boleh dielakkan sekiranya rakyat menjaga kesihatan dan peruntukan yang ada boleh disalurkan untuk kegunaan lain seperti membaiki jalan raya termasuk bangunan sekolah, jika tiga teras itu diutamakan, apa yang dirancang kerajaan negeri sudah pasti memberi perubahan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan van sebagai balai polis bergerak kepada Balai Polis Pulau Bum Bum dekat sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis itu Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah.
Jaujan turut menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam menyebarkan maklumat berkaitan 2019 novel koronavirus demi menjaga ketenteraman awam.
Penyebaran maklumat palsu, katanya, boleh menimbulkan rasa tidak selamat dan panik terutamanya di kawasan yang menjadi tumpuan pelancong.
Perkara itu turut dipersetujui Omar yang memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap penyebaran berita palsu berkenaan.
“Setakat ini, ada satu kes di Sandakan sedang dalam siasatan selepas polis menerima aduan penyebaran maklumat palsu berhubung kematian seorang banduan akibat koronavirus.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan bersama Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Mengenai majlis hari ini, Omar berkata penyerahan sumbangan van bernilai RM150,000 tersebut menunjukkan komitmen dan keprihatinan kerajaan negeri mengenai aspek keselamatan.
“Dengan adanya balai polis bergerak ini, membolehkan penduduk sekitar Pulau Bum Bum yang terdiri daripada beberapa kampung meliputi jalan raya sepanjang 36 kilometer, membuat aduan dengan lebih mudah.
“Saya berharap lebih ramai wakil rakyat, organisasi swasta mahu pun pertubuhan bukan kerajaan melakukan perkara yang sama dalam membantu pihak berkuasa meningkatkan penjagaan keselamatan di sini,” katanya.
Sumber: BERNAMA