Gambar: Stripes.com

Tiga Tahun Ditahan Taliban Seorang Cikgu Akhirnya Kembali Ke Australia

Aqmal Ezany

CANBERRA, 29 Nov (Bernama) — Seorang guru berasal dari Australia, Timothy Weeks, selamat kembali ke tanah airnya selepas lebih tiga tahun menjadi tahanan Taliban, lapor agensi berita Xinhua, memetik radio Australia Broadcasting Corporation (ABC).

Weeks dan rakannya dari Amerika Syarikat (AS) Kevin King, dibebaskan pada awal November di bawah perjanjian pertukaran banduan.

Perkara itu disahkan Menteri Luar Australia Marise Payne pada Jumaat sebaik Weeks tiba di Australia pada Khamis.

“Saya dengan ini mengesahkan Tim telah kembali ke Australia dan mengalu-alukan kepulanggannya. Tiga tahun merupakan penantian yang sangat panjang buat dirinya dan juga keluarga,” katanya.

Weeks dan King bekerja sebagai guru di Universiti Amerika di Kabul, ketika mereka diculik Taliban pada 2016.

Payne, yang menjadi menteri pertahanan ketika itu berkata beliau telah mengikuti rapat kes itu selama tiga tahun dan pernah bercakap dengan Weeks sebelum dia kembali ke Australia.

“Ia perbualan yang sangat bermakna yang sekian lama saya nantikan,” katanya.

Pembebasan Weeks dan King merupakan sebahagian daripada perjanjian pertukaran tahanan yang turut menyaksikan tiga banduan Taliban dibebaskan oleh kerajaan Afghanistan.

Sumber: BERNAMA