Nasib malang menimpa sebuah keluarga di Lampung Selatan, Lampung apabila tiga daripadanya dilapor maut disambar petir pada hari Sabtu, kira-kira jam 1:50 petang.
Tragedi menyayat hati itu berlaku ketika mereka sedang berteduh di sebuah dangau yang berada di tengah sawah. Mangsa-mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Sutini, 65 tahun, Lina, 22 tahun dan Ivan yang merupakan seorang kanak-kanak berusia 8 tahun.
Menurut laporan, terdapat tiga orang lagi yang turut disambar petir, iaitu Cenguk, 70 tahun, Isem, 65 tahun dan Jum, 45 tahun, namun ketiga-tiganya terselamat daripada peristiwa nahas tersebut. Kesemua mangsa merupakan penduduk di Desa Candimas, Natar, Lampung Selatan.
Ketua kampung Desa Candimas, iaitu Andri Suwaldi turut mengesahkan kejadian tersebut. “Benar, ada enam orang penduduk di kampung saya telah disambar petir petang tadi. Pada waktu itu, mangsa-mangsa sedang menuai padi lalu hujan turun dengan lebat. Mereka sempat berteduh di sebuah dangau sebelum disambar petir. Tiga orang daripada mereka telah meninggal dunia akibat kesan luka kebakaran di bahagian badan dan kaki” ujar beliau.
Menurut ketua kampung itu lagi, dua orang mangsa yang lain mengalami luka-luka dan sedang mendapatkan rawatan manakala seorang lagi yang terselamat segera memberitahu kepada penduduk sekitar. “Nasib baik ada seorang mangsa yang selamat, dia beredar dari lokasi kejadian kemudian memaklumkan kepada penduduk sekitar. Dua orang mangsa yang mengalami luka-luka pula masih dalam pantauan doktor. Tadinya saya nak bawa ke hospital tetapi dia tidak mahu. Jadi, saya panggil doktor datang ke rumahnya.”
Sementara itu, Camat Natar Eko Irawan memaklumkan bahawa ketiga-tiga mangsa yang selamat telah dibawa pulang ke rumah masing-masing. “Alhamdulillah ketiga-tiga mangsa yang selamat semakin membaik. Mereka juga sudah diberikan ubat untuk menyembuhkan luka kebakaran. Sekarang sudah kembali ke rumah masing-masing,” kata beliau.
Ketua Polis Lampung Selatan AKBP Edwin juga telah membenarkan kejadian itu. “Ya betul, ada penduduk yang disambar petir. Menurut para saksi di lokasi kejadian, mangsa-mangsa sedang menuai padi di sawah. Disebabkan hujan yang sangat lebat dan kilat sambar-menyambar, mereka terpaksa berteduh di sebuah dangau yang berada di kawasan sawah tersebut.”
Tambah beliau, “Kami menerima maklumat bahawa mangsa adalah seramai enam orang. Tiga orang mangsa meninggal dunia dan mereka mempunyai pertalian keluarga. Tiga orang lagi mengalami luka-luka dan sudah mendapatkan rawatan. Menurut data yang kami terima, tidak ada mangsa tambahan.”
Sumber: Tribunnews.com