JOHOR BAHRU, 11 Feb (Bernama) — Tiga pekerja wanita di sebuah kilang pengeluaran sarung tangan di Jalan Mahsuri 1, dekat Kluang, mengalami sesak nafas berikutan kebocoran gas jenis asid nitrik pada tangki penyimpanan premis berkenaan, hari ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Pegawai Bomba Kanan Zulbaharine Talib berkata seramai 14 anggota dengan dua jentera bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 2.44 petang tadi.
Beliau berkata ketiga-tiga mangsa adalah Aina Mardiah Mat Ghani, 35, Rosilawati Sainoh, 34, dan Rabiah Hasan, 24.
Menurutnya, ketika kejadian, terdapat seramai 300 pekerja di premis tersebut.
“Sebaik pasukan bomba tiba, didapati kebocoran gas itu dapat dikawal oleh pihak penyelenggara kilang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Zulbaharine berkata tiga wanita terbabit juga sudah dibawa keluar ke kawasan selamat oleh pekerja kilang dan mereka kemudian dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang dengan menaiki ambulans hospital dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bomba.
Beliau berkata ketika kejadian, kesemua pekerja juga turut dihimpunkan di tempat selamat.
Menurutnya, operasi pembersihan yang dilakukan bomba bagi memastikan tiada lagi kebocoran, tamat pada 3.14 petang tadi.
Sumber: BERNAMA