
SEOUL – Dua pesawat latihan tentera udara Korea Selatan dilapor telah bertembung dan terhempas di Tenggara Bandar Sancheong, Korea Selatan sekitar jam 1.36 petang pada Jumaat.
Dalam satu laporan pegawai bomba dan penyelamat memaklumkan bahawa, pesawat latihan KT-1 itu bertembung antara satu sama lain semasa latihan menyebabkan tiga terkorban dan seorang mengalami cedera parah.
Menurut laporan, pesawat tersebut terhempas di kawasan sawah padi kira-kira 300 kilometer daripada selatan Seoul.
Lebih daripada 30 anggota bomba dan penyelamat telah memulakan pencarian di lokasi nahas.
KT-1 merupakan pesawat latihan enjin tunggal yang dibina oleh syarikat tempatan Korea Selatan. Ia dibina secara kerjasama antara Korean Aerospace Industries (KAI) dengan Agensi Pembangunan Pertahanan. Selain itu, KT-1 merupakan pesawat pertama buatan tempatan yang dibina mengikut kehendak Tentera Udara Korea Selatan sendiri. Setakat ini, terdapat sekita 92 unit KT-1 dioperasikan di seluruh dunia.
KT-1 dihasilkan dalam 5 versi iaitu KTX-1 Yeo-Myung, KA-1, KT-1B, KT-1C dan KT-1T. KTX-1 Yeo-Myung merupakan prototaip pertama yang dihasilkan KAI. Versi ini telah dipasangkan dengan pelbagai jenis enjin untuk tujuan ujian penerbangan. Setakat ini, sekitar 6 unit telah dibina.
KA-1 pula adalah versi asal KT-1 yang dipasang dengan senjata. Versi ini mempunyai keupayaan untuk digunakan sebagai pesawat latihan, pesawat serangan ringan dan pesawat kawalan udara hadapan.
Versi ini juga disertakan dengan lima hardpoint yang boleh dipasang dengan pelancar roket, pot senjata dan misil AIM-9 Sidewinder.
Manakala KT-1B merupakan KT-1 versi eksport. Versi ini boleh dipasang dengan senjata ringan untuk terlibat dengan operasi kawalan udara. Seterusnya, KT-1C adalah versi ubahsuai untuk tujuan pertempuran. Versi ini disertakan dengan pelbagai ciri persenjataan.
Terakhir, adalah KT-1T. Versi ini adalah versi paling moden dan dihasilkan khas untuk memenuhi keperluan Tentera Udara Turki.