Deoghar – Angka kematian dalam nahas kereta kabel di Jharkhand, India dilaporkan meningkat kepada tiga orang selepas seorang lagi mangsa terjatuh dari helikopter semasa operasi menyelamat dilakukan.
Memetik laporan The Times of India, semua pelancong yang terperangkap di dalam kereta kabel itu telah berjaya diselamatkan oleh Tentera Udara India.
“Daripada baki 15 orang yang terperangkap dalam kereta kabel, 14 daripada mereka telah diselamatkan manakala seorang wanita terjatuh dari helikopter semasa operasi menyelamat,” kata Ketua Pengarah Tambahan Polis, RK Mallick.
Pakar Bedah Awam, Deoghar CK Shahi berkata bahawa wanita itu yang berusia 60 tahun telah disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke hospital.
Sementara itu, mangsa lain yang diselamatkan telah dihantar ke hospital, di mana mereka akan diperiksa dan dirawat.
Operasi menyelamat telah ditamatkan selepas lebih 60 orang terperangkap
Terdahulu, lebih 60 orang dilaporkan terperangkap di atas kereta kabel di Bukit Trikut selama kira-kira 40 jam berikutan perlanggaran antara kereta kabel akibat masalah teknikal pada Ahad lalu.
Menurut laporan, dua pelancong terkorban pada Isnin dan Selasa semasa percubaan menyelamat gagal.
Operasi menyelamat itu telah dijalankan oleh Tentera Udara India, Tentera Darat, Polis Sempadan Indo-Tibet, Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan dan pentadbiran daerah.
Difahamkan, makanan dan air telah dibekalkan kepada mereka yang terkandas dengan menggunakan dron.
Dalam pada itu, Ketua Menteri, Hemant Soren telah mengumumkan bahawa siasatan peringkat tertinggi berkaitan insiden itu akan dijalankan.
“Kerajaan negeri sentiasa memantau keadaan ini,” katanya.
Untuk pengetahuan, laluan kereta kabel di Bukit Trikut itu ialah laluan menegak tertinggi di India iaitu sekitar 766 meter panjang.
Sumber: The Times of India