KAJANG, Polis menahan dua warga Myanmar dan seorang warga tempatan, dipercayai menjual arak beracun dalam serbuan di sebuah kedai menjual minuman keras di Jalan Pasar Baru, Semenyih, pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata lelaki tempatan bersama dua pembantu kedainya berusia dalam lingkungan 30-an hingga 45 tahun itu ditahan dalam serbuan dilakukan pada 1 tengah hari oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, susulan maklumat dan risikan polis.
“Sebanyak 60 tin minuman keras jenama Miludeer dan 130 tin minuman keras jenama Bieremark dianggarkan bernilai RM2,000 turut dirampas dalam serbuan itu,” katanya pada sidang akhbar di IPD Kajang, di sini.
Ahmad Dzaffir berkata tangkapan dilakukan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang lelaki warga asing akibat keracunan metanol di daerah Kajang pada Jun lepas.
“Kami percaya kesemua arak beracun tersebut dihasilkan di luar negara sebelum diseludup masuk ke negara ini dan menjalani proses pembungkusan semula di Malaysia,” katanya, dan menyatakan kes disiasat di bawah Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat.
Ketiga-tiga lelaki itu direman selama empat hari sehingga esok.
BERNAMA