IPOH, 31 Mei – Tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan kejam seorang lelaki di Sungai Desa Aman, Kinta di sini pada 26 Mei lepas, direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 6 Jun.
Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Ipoh, Azuratul Akmar Abdul Ghafar.
Sebelum ini dilapor, empat suspek berusia antara 21 dan 34 tahun telah ditahan pada 27 Mei, sehari selepas kejadian, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, namun hanya tiga suspek sahaja yang direman.
Mereka ditahan susulan penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan hancur pada bahagian muka dan bahu hingga ke lengan kiri.
Mayat yang hanyut di sungai tersebut ditemukan orang ramai kira-kira 6 petang sebelum polis tiba ditempat kejadian dan membawa mayat tersebut ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.
Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A. Asmadi Abdul Aziz mayat lelaki itu dipercayai adalah A.Preshna, 40, yang mempunyai 20 rekod jenayah dan dadah.
Hasil bedah siasat mendapati kematian berpunca daripada kecederaan tisu lembut disebabkan oleh objek tumpul, mungkin penumbuk, kayu atau rotan.
— BERNAMA