PUTRAJAYA, 21 April — Tiga kementerian iaitu Kementerian Luar, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kesihatan (KKM) bekerjasama untuk memastikan Malaysia mengambil langkah proaktif dalam mendapatkan vaksin bagi pandemik COVID-19.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata kerjasama itu bertujuan memastikan Malaysia berada di kedudukan terbaik untuk mendapat akses kepada pembangunan vaksin COVID-19 serta mampu terus mendapatkan vaksin itu apabila ia siap dihasilkan.
“Kolaborasi antara ketiga-tiga kementerian ini sangat penting sebab sekarang ini sedang berlangsung pra-klinikal dan percubaan klinikal di beberapa negara,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat penyelarasan ketiga-tiga kementerian di MOSTI di sini, hari ini.
Khairy berkata, mesyuarat hari ini juga membuat keputusan untuk menggunakan pendekatan ‘berdasarkan diplomasi sains’ dalam mendapatkan vaksin COVID-19.
“Jadi KKM dan MOSTI akan kenal pasti vaksin dan perubatan yang diinginkan dan lihat pembangunan vaksin serta negara yang sedang membangunkan vaksin itu.
“Maklumat itu akan dikongsi bersama Wisma Putra yang akan jalinkan hubungan diplomasi dengan negara yang sedang hasilkan vaksin supaya Malaysia dapat terlibat di peringkat ujian,” katanya.
Beliau berkata pendekatan itu mampu memastikan Malaysia terlibat dalam penghasilan vaksin COVID-19 dan menerima vaksin itu secepat mungkin apabila ia telah siap sedia diguna pakai oleh orang ramai
Sumber: BERNAMA