Pagi tadi heboh diperkatakan mengenai satu kejadian yang melibatkan seekor gajah di Kuala Rompin. Seorang warga yang prihatin telah memuat naik gambar di sebuah group Facebook memaklumkan tentang seekor gajah yang terbenam dalam perigi lama.
Perigi yang dipenuhi oleh lumpur itu menyukarkan gajah tersebut untuk bergerak apatah lagi untuk keluar dari situ. Menurut pengadu, beliau telah mendengar bunyi gajah tersebut sejak dari 3 hari lalu.
Gambar : Halim Rps KedaikAkibat dari tindakan cakna warga media sosial, Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia telah mengambil maklum dan bertindak. Maklumat terbaru yang dimuat naik oleh pihak PERHILITAN memaklumkan bahawa gajah berkenaan telah berjaya diselamatkan.
Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia telah menerima satu laporan berkaitan seekor gajah terperangkap dalam lumpur sepertimana yang tular dalam beberapa saluran media sosial. Kakitangan Jabatan PERHILITAN Negeri Pahang telah ke lokasi dan telah menjalankan operasi menyelamatkan gajah yang terperangkap tersebut.
Gajah tersebut berjaya dikeluarkan dan telah dilepaskan semula ke habitatnya. Jabatan PERHILITAN ingin mengucapkan terima kasih atas keprihatinan semua pihak berhubung isu hidupan liar ini.
Gambar : Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia
Gambar : Jabatan PERHILITAN Semenanjung MalaysiaSumber : Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia