
Tiga Hari Berteduh Dalam Kereta, Sekeluarga Kini Dipindahkan Ke Penginapan Sementara
Pemberian zakat menjadi salah satu kewajipan bagi seorang Muslim dalam melengkapkan tiang agamanya. Menerusi zakat, ramai golongan yang memerlukan, terutamanya fakir miskin dapat menerima manfaat dalam menghadapi cabaran hidup.
Melalui pengurusan yang tersusun, zakat mampu meringankan beban golongan asnaf, sekali gus membuka ruang untuk mereka bangkit menjalani kehidupan.
Hakikatnya, peranan zakat begitu signifikan apabila disalurkan secara tepat, pantas dan menyeluruh.
Jangan tak tahu, biarpun jarang kita dengar diwar-warkan di media sosial, pelbagai pihak berganding bahu dalam menyampaikan zakat kepada mereka yang layak menerimanya.
Antara yang mendapat perhatian baru-baru ini merupakan tindakan pantas Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid menghulurkan bantuan kepada sebuah keluarga.

Difahamkan, keluarga ini terpaksa tinggal di dalam kereta selama tiga hari berikutan terpaksa keluar dari rumah sewa. Keluarga berkenaan ditemui ketika mereka berteduh di bawah sebuah jambatan di Kampung Ubi, Johor Bahru.
Menurutnya, makluman berkenaan perkara tersebut diterima daripada Exco Belia dan Sukan Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah.
“Kita sudah mengarahkan Majlis Agama Islam Negeri Johor Daerah Johor Bahru (MAINJ) untuk cepat membantu.
“Alhamdulillah mereka dapat kita temui. Amin BaitulMal Johor Bahru, Dr Firdaus telah berusaha memujuk keluarga ini agar berpindah,” maklum beliau menerusi satu muat naik di laman Facebook.

Buat sementara waktu, keluarga berkenaan telah ditempatkan di sebuah penginapan sementara sebelum dipindahkan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) hari ini.
Katanya, pemindahan keluarga tersebut mendapat kerjasama daripada pihak Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.
Dalam pada itu, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail@Md On bakal melihat kebajikan keluarga tersebut berikutan salah seorang anak didapati berstatus kurang upaya. Perkara tersebut dikenal pasti menerusi bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“MAINJ pula akan membuat semakan ke atas keperluan mereka dan bantuan selayaknya akan diberikan,” jelas beliau.
Menerusi kenyataan yang sama, Fared turut mengingatkan masyarakat tentang kewajipan membantu golongan yang diuji dengan rintangan dan kepayahan.
“Salurkan maklumat terus kepada kita. Kerajaan Johor melalui kesemua jentera kebajikan yang tersedia akan membantu sebaiknya.
“Hulurkan bantuan kita melalui pembayaran zakat. Bayaran zakat boleh dibuat secara fizikal di kaunter-kaunter MAINJ di setiap daerah atau terus sahaja secara dalam talian.
“Tunaikan segera kewajipan berzakat kita selagi punya ruang melaksanakannya,” ujar beliau.
Sementara itu, beliau turut menitipkan nasihat buat mereka yang diuji kepayahan dan kemiskinan untuk terus mengunjungi kaunter MAINJ di seluruh daerah bagi mendapatkan bantuan.
“Bantuan kecemasan pasti dihulur jika kalian berdepan ujian tak terduga.
“Ketua-ketua kampung selaku Amil Agihan Zakat juga akan membantu menguruskan permohonan masing-masing,” pesan beliau.
Mengakhiri perkongsian tersebut, Fared menzahirkan hasratnya agar keluarga dan jiran tetangga tidak dibiar dalam kesusahan tanpa bantuan.
Sumber: Facebook Mohd Fared Mohd Khalid