Kuching : Tiga lelaki cedera dalam insiden kapal tangki minyak yang sedang berlabuh di Pengkalan Kapal Demak Laut, di sini terbakar pagi ini.
Ketika kejadian kira-kira pukul 8.45 pagi itu, ketiga-tiga mereka, masing-masing berusia 20, 48 dan 54 tahun sedang membuat kerja-kerja pembersihan kapal bersama tiga lagi yang lain.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata kesemua mereka telah dihantar ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.
Katanya kapal tanpa muatan berkenaan sedang dalam proses kerja pembaikan secara kimpalan dan pembersihan, sebelum terbakar dan memusnahkan kira-kira 25 peratus ruangan dalam kapal.
”Api berjaya dikawal pada pukul 10.14 pagi dan sebaik kerja-kerja penyejukan dan overhaul selesai, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11 pagi,” katanya.
Sumber : Bernama