Susulan kebenaran rentas negeri yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyemak semula keperluan pengujian status jangkitan COVID-19 sebelum melancong ke Langkawi.
Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, KKM telah memutuskan untuk memberhentikan keperluan ujian pengesanan COVID-19, berkuatkuasa hari ini. Ia diputuskan setelah mengambil kira peratus pelancong yang dikesan positif semasa saringan yang sangat rendah.
Bagaimanapun sebagai langkah mengukuhkan tindakan kesihatan awam kendiri, para pelancong digalakkan untuk melakukan ujian COVID-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan ke Langkawi bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada pelancong lain.
Pun begitu, syarat wajib vaksinasi lengkap bagi semua pelancong dewasa masih kekal dan harus dipatuhi. Namun sekiranya anda mengalami gejala seperti demam, batuk dan selsema, dinasihatkan agar menangguhkan perjalanan terlebih dahulu.
Bagi individu yang disahkan positif dan sedang dalam tempoh pengasingan dan pemantauan, atau individu yang dikenal pasti kontak rapat yang sedang menjalani perintah kuarantin dan pengawasan, aktiviti pelancongan tidak dibenarkan sama sekali.
Sumber: KKM