Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Yahya Mat Ghani menjelaskan tidak salah untuk partinya menjadi pembangkang selama lima tahun daripada menjalinkan kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
“Kita sepakat, kalau boleh kita tak nak pergi mana-mana, PN tak nak, PH pun kita tak nak. Biar stay alone sebagai pembangkang.
“Lima tahun, parti lain boleh jadi pembangkang lima 60 tahun, apa salahnya kita UMNO, BN jadi pembangkang untuk lima tahun,” katanya dalam sidang media bersama Ketua-ketua Bahagian UMNO di Riverside WTC sebentar tadi.
Ditanya mengenai perjumpaan ahli Parlimen BN bersama PH bagi membentuk sebuah gabungan majoriti, Yahya dilihat enggan mengulas mengenai isu tersebut.
Beliau berkata, tidak semua ahli parlimen yang datang iaitu Top 5 pimpinan UMNO setuju dengan pendirian presiden parti.
“Itu saya tidak tahu, saya no komen. Mungkin tak semuanya kalau ada pun Top 5 yang pergi, tidak semuanya setuju dengan kehendak presiden..saya fikir macam itu.
“Dan saya dapat maklumat, Top 5 tu tak semuanya setuju,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beberapa Ketua Bahagian UMNO negara memohon Presiden UMNO untuk terima hakikat, berlapang dada menerima kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan undur secara terhormat.
Beliau turut berkata gabungan mana-mana parti perlu dirunding dahulu dengan semua pringkat dalam UMNO dan dengan jelas beliau mengatakan semua ketua-ketua bahagian UMNO tetap dengan pendirian menolak kerjasama bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.
Sumber: BERNAMA