Tidak Rasmi: Dua Beregu Lelaki Negara Pegang Ranking Nombor 1 & 2 Dunia
Buat julung kalinya, dua pasangan beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dijangka bakal mencipta sejarah apabila memegang gelaran nombor 1 dan 2 dunia dalam kemas kini terbaru Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang dijangka diumumkan pada 10 Jun ini.
Ini berikutan semi finalis tahun lalu, Kim Astrup-Anders Rasmussen dari Denmark, tersingkir di pusingan kedua sebentar tadi, selepas dikejutkan pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 27-29, 11-21.
Susulan itu, kekalahan pasangan Demnark itu bakal membuka laluan untuk Aaron Chia-Soh Wooi Yik mendaki satu lagi anak tangga dalam ranking beregu lelaki pada 10 Jun depan, sekali gus menyaksikan Malaysia menguasai kedudukan Top 2 dunia bagi kategori itu.
Sementara itu, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin kekal memegang beregu lelaki nombor 1 dunia.
Untuk maklumat, Malaysia bakal menjadi negara ke-3 selepas Indonesia dan Korea yang pernah memiliki dua beregu lelaki yang menduduki tangga 1 dan 2 dunia.
Bagaimanapun, kedudukan tersebut hanya dapat disahkan selepas BWF mengemas kini ranking terkini yang dijangka akan diterbitkan minggu hadapan.
Sekiranya disahkan, ia pasti menjadi detik bersejarah buat sukan badminton tanah air. Sama-sama kita nantikan.
Sumber: ShuttleHard/X