“Tidak Patut Hamburkan Kata Kesat,” Pejabat Mufti Tegur Netizen Yang ‘Maki’ Atlet Paralimpik Ukrain

Edayu

Seperti mana yang di ajar dalam agama terutamanya agama Islam, elemen yang penting adalah menjaga tali persaudaraan dengan berkasih sayang merentasi batas keturunan, warna kulit, bangsa mahupun kedudukan.

Ajaran Islam tidak membezakan umatnya sama ada yang dilahirkan sempurna ataupun memiliki kelainan upaya dan kekurangan. Namun, baru-baru ini segelintir pengguna media sosial seperti ‘tidak waras’ sehinggakan melontarkan perkataan-perkataan yang tidak elok kepada salah seorang atlet di sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Oleh yang demikian, pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan memberi teguran kepada mereka yang mengeluarkan kata-kata kesat kepada orang kurang upaya (OKU) ini.

Teguran ini bukan untuk memalukan sesetengah pihak tetapi sebagai pengajaran dan teladan kepada kita semua untuk saling menghormati satu sama lain terutamanya bagi golongan OKU ini walaupun bukan dari negara kita, Malaysia.

Islam merupakan agama yang mengajar penganutnya agar menjaga akhlak dan tingkah laku yang baik. Tidak sepatutnya bagi seorang Muslim itu berkelakuan kurang sopan apatah lagi menyakiti orang kurang upaya (OKU).

Sabda Rasulullah SAW:

ملعون من كمه أعمى عن الطريق

Maksudnya: “Adalah dilaknat orang yang memesongkan orang buta dari jalan laluannya”.

Al-San’ani mengatakan hadis ini sebagai pedoman buat umat Islam supaya membantu orang kurang upaya (OKU) dari segi emosi dan fizikal, agar boleh menjalani kehidupan seperti orang lain.

Maka tidak seharusnya seorang Muslim itu menyakiti orang kurang upaya (OKU) melalui kata-kata dan perbuatan yang boleh menyakitkan mereka. (Lihat al-Tanwir Syarah al-Jami’ al-Saghir: 9/569).

Nasihat kami kepada orang-orang yang menyakiti orang kurang upaya (OKU), jagalah akhlak dan tingkah laku kita semua daripada perkara keji. Ingatlah sesungguhnya Nabi Muhammad SAW diutuskan untuk memperbaiki akhlak dan budi pekerti, seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:

إنما بعثت لأتمم صالح الأخلاق

Maksudnya: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik”.

Semoga kita semua menjadi contoh teladan buat keluarga, masyarakat dan negara secara keseluruhannya. Wallahua’lam.

Sekalipun kita kecewa dan marah, tidak patut untuk menghamburkan kata-kata kesat. Ingat, setiap perbuatan dan tulisan kita akan dihitung oleh Allah SWT.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan