Tular di media sosial hari ini mengenai sebuah kereta Myvi yang dipercayai merempuh kubur di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights, Senawang pagi tadi.
Susulan kejadian itu, anak kepada pemandu kereta tersebut telah memberi kenyataan di Facebook bagi menjelaskan keadaan sebenar yang menimpa ibunya.
Menerusi kiriman itu, Syafiq Sidek memohon maaf kepada semua waris kubur yang telah rosak dalam kejadian itu dan berkata akan bertanggungjawab untuk membaik pulih kubur tersebut.
“Saya anak kepada owner kereta Myvi ini, bagi pihak ibu, saya memohon seribu kemaafan kepada semua waris kubur yang telah rosak. Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas segala kerosakan dan akan baik pulih kubur seperti asal,” katanya.
Menurutnya, ibunya yang menghidap kencing manis mengalami kekurangan gula dalam darah ketika kejadian dan tiba-tiba tidak sedarkan diri.
“Di sini saya ingin memberi penjelasan di atas kejadian ini, sebenarnya ibu saya dalam keadaan hypo (kurang gula dalam darah) kerana mengidap kencing manis dan ibu saya sedang berpuasa hari ini.
“Ibu saya secara tiba-tiba tidak sedarkan diri dan tertekan pedal minyak ketika ingin pusingkan kereta (u-turn), saya berharap agar tiada pihak yang salah sangka terhadap kejadian ini,” katanya.
Tambahnya lagi, ibunya juga masih berada dalam keadaan trauma dan bersedih kerana kehilangan suami tercinta akibat COVID-19.
“Mohon jasa baik semua untuk menghentikan viral ini, kami sekeluarga berusaha untuk memberi semangat kepada ibu.
“Alhamdulillah ibu saya selamat dan tiada kecederaan, saya memohon kemaafan sekali lagi,” ujarnya.
Sementara itu, memetik laporan Astro Awani, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof mengesahkan kejadian itu dan berkata anak kepada wanita itu telah hadir membuat laporan hari ini.
Sumber: Syafiq Sidek