BEIJING, 30 Mei (Bernama) — Kapal angkasa kargo Tianzhou-2 yang membawa bekalan seperti makanan, peralatan dan bahan dorong berjaya dicantum dengan modul teras stesen angkasa Tianhe, awal pagi ini.
Menurut Agensi Angkasa Lepas Bermanusia China (CMSA), Tianzhou-2 dan Tianhe mengambil masa kira-kira lapan jam untuk melengkapkan proses bertemu dan bercantum secara automasi pada 5.01 pagi.
Tianzhou-2 yang dibawa roket Long March-7 Y3 dilancarkan di pusat pelancaran Wenchang, wilayah Hainan di selatan China pada malam Sabtu.
Kapal angkasa kargo itu akan mengisikan bahan dorong kepada modul teras stesen angkasa berkenaan.
Sementara itu, ujian terhadap kelengkapan projek aplikasi angkasa lepas juga akan dijalankan seperti dirancang.
Ketua pereka projek angkasa lepas bermanusia, Zhou Jianping menyatakan, pihaknya akan menguji fungsi gabungan baharu membabitkan modul teras dan kapal angkasa kargo berkenaan.
“Dengan siapnya ujian ini, kru angkasawan yang pertama akan dihantar untuk menjalankan misi di stesen angkasa lepas.
“Anak kapal berkenaan akan ditempatkan di modul teras untuk jangka panjang. Antara eksperimen yang bakal dilakukan mereka termasuk cubaan keluar dari kabin, aktiviti di luar kabin dan kerja melengkapkan peralatan,” jelasnya.
Sumber: BERNAMA